Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Lanjutan moratorium pinjaman Hijrah belum diputus

AMPANG, 15 OGOS: Lanjutan moratorium bayaran pinjaman kepada semua peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) masih dalam perbincangan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata keputusan berhubung lanjutan tersebut akan diputuskan pihak berkaitan dengan meneliti keadaan semasa usahawan.

“Hijrah tengah bincang sama ada mahu dilanjutkan atau sebaliknya, itu bergantung sejauh mana kesusahan dihadapi peniaga.

“Alhamdulillah, kita lihat kebanyakan mereka sudah divaksin dan kembali berniaga dengan baik,” katanya selepas menyerahkan geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) di pusat sehenti di sini semalam.

Rodziah berkata pihaknya mahu memastikan usahawan yang bernaung di bawah Hijrah kekal bertahan walaupun tanpa penangguhan bayaran pinjaman.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir bulan lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.