Categories
AGENDA NASIONAL

Pindaan enakmen, dana besar pulih sistem air bantu atasi pencemaran

SHAH ALAM, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam menangani isu pencemaran air yang berleluasa tahun lalu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pembaharuan enakmen selain peruntukan besar bagi memulihkan sistem rawatan air membantu menyelesaikan cabaran tersebut.

Baginda turut memuji sikap inklusif rakyat yang mewujudkan program Sahabat Sungai atau Friends of River bagi mengelakkan masalah pencemaran.

“Walaupun pelbagai inisiatif dan kemajuan teknologi telah dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air yang lestari, semua penduduk di Selangor seharusnya menggunakan air dengan cara yang lebih berhemat untuk mengelakkan pembaziran.

“Kerajaan beta melalui Air Selangor terus komited untuk memberi tumpuan mempertingkatkan daya tahan perkhidmatan bekalan air bersih di samping turut menjamin bekalan air berterusan kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Pada 8 Disember 2020, Sultan Selangor memperkenan pindaan Enakmen LUAS untuk mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta kepada pencemar air.

Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 18 insiden pencemaran sungai berjaya ditangani selain tiada kes pencemaran direkodkan dalam tempoh tersebut.

Berdasarkan rekod tahun lalu, Lembaga Urus Air Selangor berjaya menangani 19 daripada 29 kes pencemaran air.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.