Categories
SELANGOR

Program cungkil bakat negeri mampu cetus revolusi kebolehpasaran belia

SHAH ALAM, 21 OGOS: Pertandingan Selangor Youth Skills (SYS) 2021 mampu mencetuskan revolusi kebolehpasaran generasi muda dalam pelbagai sektor kemahiran.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata pertandingan itu diperkenalkan bagi memastikan golongan berkenaan kekal seiring dengan transformasi digital semasa  dan berdaya saing di pasaran.

“Menerusi SYS, generasi muda lebih bersedia untuk bersaing di alam pekerjaan yang kini semakin mencabar.

“Malah kita jangka SYS menjadi keperluan dalam menyediakan satu revolusi sukan bagi atlet-atlet di Selangor mempersiapkan diri menghadapi sebarang kejohanan pada masa hadapan,” kata Mohamad Nizam Marjugi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SYS 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dirasmi EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di sini semalam.

SYS 2021 bertema Inovasi Sukan Masa Hadapan mempertandingkan 10 sektor kemahiran iaitu filem dan video pendek, teknologi seni bina, hackathon, gubahan lagu, pembuatan perabot, teknologi grafik, ciptaan animasi, teknologi fesyen,reka bentuk terrarium dan pemasaran sosial media.

Pertandingan yang diadakan secara dalam talian itu berlangsung selama lima hari bermula 22 September hadapan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.