Categories
AGENSI SELANGOR

SERVE beri peluang belia sertai misi kemanusiaan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Program Sukarelawan Selangor (SERVE) membuka peluang kepada golongan belia untuk terlibat aktif dalam misi kemanusiaan di seluruh negara.

EXCO Jaringan Kemasyarakatan, Kesukarelawanan Penggerak Belia Selangor (PeBS) Ahmad Danish Hairudin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa menyokong anak muda.

“SERVE tidak hanya membantu rakyat di Selangor sahaja sebaliknya di negeri lain yang mengalami bencana atau memerlukan bantuan.

“Terima kasih Kerajaan Selangor yang sentiasa bagi sokongan dan dorongan kepada anak muda untuk bergiat secara langsung dalam misi ke Yan Kedah hari ini,” katanya.

EXCO Jaringan Kemasyarakatan, Kesukarelawanan Penggerak Belia Selangor Ahmad Danish Hairudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program pelepasan peserta SERVE Misi Bantuan Kerajaan Selangor yang dirasmikan oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dataran Shah Alam semalam.

Menurut Ahmad Danish sebanyak lapan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tiga lori digerakkan bagi misi kemanusiaan yang membawa hampir 50 peserta SERVE.

“Antara barangan keperluan asas yang kita hantar ke Kedah adalah sejadah, kain pelikat, telekung dan bakul makanan hasil sumbangan Pejabat Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Misi selama tiga hari itu turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang akan tiba esok bagi menyerahkan cek bantuan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Pada 18 Ogos daerah Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai sehingga memusnahkan beberapa kediaman dan meragut enam nyawa penduduk sekitar kawasan terbabit.

SERVE terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dan ia adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.