Categories
AGENDA NASIONAL

Siti Sarah meninggal dunia lepas lebih 48 jam ditidurkan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 36, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia jam 5.13 pagi ini akibat Covid-19.

Berita duka itu disahkan oleh suaminya Shuib Sepahtu di Instagram awal pagi tadi.

“5:13 minit pagi, 9 Ogos. Bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan al-Fatihah,” tulisnya.

Semalam, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkongsi keadaan isterinya yang kritikal apabila bacaan oksigen jatuh ke paras 40 peratus.

Pelantun lagu Kesetiaan itu terpaksa ditidurkan lebih 48 jam pada 6 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya menurun akibat jangkitan Covid-19.

Ibu kepada empat cahaya mata itu melahirkan bayi lelaki Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada 27 Julai, Siti Sarah mengesahkan dirinya sekeluarga positif Covid-19 selepas pembantu rumah dijangkiti virus berkenaan.

Pasangan itu bernikah pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.