Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sukarelawan jenazah pesakit Covid-19 pilu urus, kebumi ibu sendiri

SHAH ALAM, 11 OGOS: Walaupun pernah menguruskan ratusan jenazah pesakit Covid-19, kelmarin menjadi hari paling memilukan buat Abdul Razak Nordin apabila mengebumikan jenazah ibu sendiri yang terkorban gara-gara wabak.

Sukarelawan petugas Pengurusan Jenazah Covid-19 Daerah Petaling tidak menyangka perlu menguruskan jenazah ibunya Patimah Ibrahim, 68, yang menghembuskan nafas terakhir di kediaman di Seksyen 20 di sini Ahad lalu kira-kira jam 11.30 malam.

Abdul Razak, 34, berkata berita duka itu diterima daripada kakak ipar, Nabila Syahrain, 33, ketika beliau sedang membuat panggilan video dengan anak berusia empat tahun yang tinggal bersama bekas isteri serta ibu mentua di Lembah Keramat.

“Saya tergamam dan terus bergegas ke rumah emak. Dalam perjalanan dari rumah di Seksyen 24, seorang daripada abang saya memberitahu jenazah emak sudah dibawa ke Hospital Shah Alam.

“Doktor terlebih dahulu melakukan saringan kit ujian pantas antigen (RTK) tetapi keputusannya negatif sebelum bertindak menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR). Punca kematian disahkan pada jam 4 pagi iaitu Covid-19 Pneumonia.

“Sejujurnya, kami sekeluarga tidak percaya emak positif kerana semasa keluar hospital 4 Ogos lalu, emak yang menghidap kencing manis tahap kritikal selepas menjalani rawatan, saringan RTK didapati negatif malah tiada gejala wabak ditunjukkan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Abdul Razak berkata biarpun pahit tetapi beliau reda segala aturan Allah dan bersyukur atas kapasiti sukarelawan pengurusan jenazah mangsa Covid-19, diberi peluang tersebut di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 kerana ibunya pernah berpesan supaya menguruskan jenazahnya hingga ke liang lahad sekiranya meninggal dunia.

“Alhamdulillah, saya dapat tunaikan permintaannya selain berpeluang menatap wajah emak buat kali terakhir walaupun sedikit terkilan kerana ayah (Nordin Saeren, 70) serta adik-beradik lain tidak boleh berbuat demikian kerana terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP).

“Sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan, saya berzikir dan membaca ayat al-Quran sambil berbisik bahawa ini adalah perjalanan terakhirnya serta selamat pulang ke negeri abadi,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik yang mengakui terduduk lemah di pusara sebaik selesai urusan pengebumian.

Sementara itu, Abdul Razak berkata dua daripada 16 ahli keluarga yang menjadi kontak rapat kepada ibunya disahkan positif wabak membabitkan bapa dan abang sulung.

“Ketika ini kedua-duanya sedang menjalani kuarantin di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, namun keadaan ayah membimbangkan kerana mengalami muntah-muntah dan hampir seluruh paru-paru dijangkiti Covid-19.

“Saya berdoa mudah-mudahan mereka segera diberi kesembuhan daripada wabak berbahaya ini,” katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).