Categories
AGENDA NASIONAL

15 peratus daripada 109,164 kematian akibat penyakit jantung

PUTRAJAYA, 29 SEPT: Sebanyak 15 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan di negara ini pada 2019 adalah berpunca daripada penyakit jantung, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berkongsi data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, beliau berkata lebih 18.6 juta kematian akibat penyakit jantung di seluruh dunia direkodkan pada tahun sama.

Dr Noor Hisham berkata angka kematian akibat penyakit jantung dijangka meruncing terutama ketika seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19 yang menyebabkan akses kepada informasi dan rawatan penyakit jantung serta penyakit tidak berjangkit menjadi sukar.

Sempena Hari Jantung Sedunia hari ini bertemakan “Sayangi Jantung dan Terus Berhubung”, beliau dalam satu kenyataan menggalakkan masyarakat memanfaatkan program kesihatan kerajaan untuk saringan dan intervensi faktor risiko penyakit tidak berjangkit.

Antara program berkenaan ialah Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen), program saringan kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), klinik dengan perkhidmatan PeKa B40, katanya.

Dr Noor Hisham berkata pesakit jantung berisiko tinggi mendapat komplikasi yang serius sekiranya dijangkiti Covid-19.

“Selain melengkapkan vaksinasi Covid-19 dan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) dan norma baharu, pesakit perlu kekal sihat bagi meningkatkan daya ketahanan diri daripada penyakit Covid-19 dan komplikasinya,” katanya.

Beliau berkata penggunaan teknologi digital secara optimum dapat membantu memastikan lapisan masyarakat di seluruh negara mendapat akses kepada informasi pencegahan dan rawatan penyakit jantung yang diperlukan.

Hari Jantung Sedunia disambut setiap tahun pada 29 Sept bertujuan memerangi penyakit berkaitan kardiovaskular dan mengurangkan beban penyakit global.

– BERNAMA