Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

550 dos vaksin negeri habis disuntik di DUN Tanjung Sepat

KUALA LANGAT, 14 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat semalam menjadi tumpuan ramai untuk mendapat suntikan.

Ahli Dewan Negerinya Borhan Aman Shah berkata sebanyak 550 dos pelalian habis disuntik dalam tempoh beberapa jam dengan kebanyakan yang hadir dalam kalangan warga asing.

“Kebanyakan yang hadir warga asing dan kita amat menggalakkan mereka divaksinasi untuk mencegah penularan penyakit. Jika biarkan warga asing ini tidak disuntik, kita bimbang mereka merayau atau keluar secara tidak sedar menyebarkan Covid-19,” katanya ditemui di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat.

Beliau yang juga EXCO pembangunan luar bandar turut mencadangkan program berkenaan diteruskan lagi jika masih ramai penduduk Selangor belum divaksin.

“Usaha ini amat bagus dan saya cadangkan dos vaksin ditambah lagi bagi memastikan semua rakyat Selangor disuntik sekali gus mencapai imuniti kelompok,” kata Borhan.

Program Selvax bergerak bermula kelmarin dianjurkan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 DUN sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Bandar Baru Klang, Batu Tiga dan Tanjung Sepat, DUN lain yang terlibat ialah Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.