Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pencemaran diatasi, bekalan air pulih berperingkat hari ini

SHAH ALAM, 4 SEPT: Tindakan segera agensi negeri berjaya menyelesaikan isu pencemaran bau di Sungai Buah, Dengkil semalam dalam tempoh kurang 12 jam.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan usaha termasuk melaksanakan henti tugas loji rawatan air (LRA) bagi mengelak pencemaran masuk ke sumber air terawat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sebanyak 14 beg serbuk karbon teraktif turut diletakkan di dua lokasi aliran takungan bagi mengawal pencemaran ke Sungai Semenyih.

“Alhamdulillah, langkah-langkah yang telah diambil ini telah berjaya menyelesaikan isu pencemaran semalam dalam tempoh kurang dari 12 jam. LRA Sungai Semenyih telah mula berfungsi dan bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat bermula hari ini.

“94 lori tangki Pengurusan Air Selangor akan terus digerakkan ke kawasan yang terlibat serta pili awam akan disediakan di beberapa lokasi strategik,” katanya dalam kenyataan di Facebook

Selain itu, beliau berkata sebanyak 227 juta liter air sehari (JLH) dilepaskan dari Empangan Semenyih bagi meningkatkan faktor pencairan dan pembersihan sungai.

Sementara itu, Amirudin menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap pelaku yang terlibat dalam insiden pencemaran selain memberi amaran akan mengambil tindakan tegas.

Mengikut Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, pencemar air boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih petang semalam.

Wilayah terjejas ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).