Categories
AGENDA NASIONAL

PKPS mahu saman aktivis buat tohmahan ‘jahat’ ceroboh hutan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan mengemukakan saman fitnah kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) susulan dakwaan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam kononnya sebagai gantian penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara.

PKPS berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat  NGO berkenaan menerusi temu bual stesen televisyen swasta pada 2 September lalu boleh merosakkan nama baik PKPS dan Kerajaan Negeri.

“Isu nyahwarta HSK Kuala Langat Utara tiada kaitan langsung dengan PKPS. Kami juga menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan kenyataan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PKPS lagi, pihak yang membuat dakwaan sepatutnya terlebih dahulu membuat laporan dan mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri sebelum melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Kenyataan dikeluarkan bersifat ‘mala fide’ dan mempunyai unsur mengaitkan PKPS dengan agenda tersendiri,” menurut kenyataan itu.