Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga kategori pelajar antarabangsa lengkap vaksin boleh masuk Malaysia

SHAH ALAM, 14 SEPT: Tiga kategori pelajar antabangsa yang lengkap vaksin dibenarkan masuk ke Malaysia namun perlu mematuhi beberapa syarat, kata menteri pengajian tinggi.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menjelaskan kebenaran melibatkan pelajar warganegara United Kingdom dan mereka yang mengikuti program mobiliti serta pelancongan pendidikan.

Selain itu, beliau berkata tanggungan sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini turut dibenarkan.

“Ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia.

“Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Noraini menambah pelajar berkenaan juga perlu mendaftar dengan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Sementara itu, Noraini berkata proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan dibuat secara hibrid dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara.

“Pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian di lokaliti masing-masing.

“Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan juga boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan,” katanya.