Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Umat Islam diminta patuh ketetapan solat jemaah di masjid, surau

SHAH ALAM, 24 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru umat Islam mematuhi ketetapan baharu solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah di masjid, surau serta musolla negeri ini selari dengan kelonggaran Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jemaah mestilah lengkap dua dos vaksin dengan tempoh inkubasi ditetapkan, membawa sejadah dan berwuduk daripada rumah serta tidak berasak sepanjang waktu ibadah.

“Umat Islam di Selangor diminta mematuhi ketetapan yang disenaraikan. Terutamanya melengkapkan dua dos vaksin dengan tempoh inkubasi ditetapkan, membawa sejadah dan berwudhuk daripada rumah.

“Serta tidak berasak-asak sepanjang waktu ibadah. Moga usaha kita dalam menjamin ibadah yang selamat sentiasa diberkati Allah SWT,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin turut berkongsi infografik mengenai perincian ketetapan bilangan jemaah bagi masjid, surau atau musolla tertentu.

Rabu lalu, EXCO Hal-Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan kebenaran solat Jumaat untuk 1,000 orang di Masjid Negeri dan 500 orang bagi solat berjemaah lima waktu.