Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri laksana Vaksin Selangor untuk remaja dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 9 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja  melibatkan 150,000 dos pelalian akan dilaksana dalam masa terdekat, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mekanisme pelaksanaan program itu sedang dimuktamad dan akan diumum dalam masa terdekat.

Menerusi perkongsian infografik di Facebook, inisiatif berkenaan memfokuskan pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di Selangor berusia 12 hingga 17 tahun.

Selain itu, program turut menyasarkan pelajar sekolah agama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil (SJKC & SJKT).

Pada Jun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.