Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: Keputusan bubar DUN Melaka langgar duluan kes

SHAH ALAM 6 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) berpendirian bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Melaka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melanggar duluan kes sebelum ini apabila ketua menteri hilang majoriti.

Majlis Presiden PAKATAN dalam satu kenyataan menyebut, keputusan Tun Mohd Ali Rustam itu juga dibuat atas dasar nasihat salah daripada Datuk Seri Sulaiman Ali yang telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati beliau.

“TYT (Yang di-Pertua Negeri) sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka serta bertemu dengan 15 ADUN yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Malangnya tindakan TYT ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka di mana pada 2020 nasihat ketua menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti,” kata kenyataan itu selepas mesyuarat majlis berkenaan hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Kenyataan itu menegaskan, tindakan pembubaran DUN Melaka juga  tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir pada 2009 di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN.

“Majlis Presiden turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka telah membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

Semalam Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka setelah mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri.

Isnin lalu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).