Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jurulatih, atlet Sukma dibayar RM5 juta sejak 2020

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor telah membuat bayaran sebanyak RM5 juta kepada jurulatih dan atlet yang terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma).

EXCO sukan berkata bayaran bagi tahun 2020 dan 2021 itu merangkumi RM2.9 juta untuk jurulatih dan RM2.1 juta kepada atlet.

“Bagi memastikan para jurulatih dan atlet terus komited dengan persiapan Sukma akan datang, MSN Selangor telah membuat bayaran kepada mereka.

“Bayaran kepada jurulatih dibayar secara kontrak sepenuh dan separuh masa manakala atlet dibayar mengikut kehadiran ke latihan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku, Lim Yi Mei mengenai persediaan Kerajaan Negeri untuk Sukma pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Khairuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jurulatih telah meneruskan program latihan dengan menggunakan kaedah secara maya di kediaman masing-masing.

“Kaedah latihan secara maya ini diguna pakai dalam membantu jurulatih supaya dapat terus berinteraksi dengan atlet, sekali gus memastikan atlet dalam keadaan cergas walaupun kekangan PKP.

“Namun, bermula November semua atlet Sukma telah mengadakan latihan mereka secara fizikal mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang dibenarkan,” katanya.