Categories
AGENDA NASIONAL

SIBS 2021: Platform besar pasarkan produk, cari peluang baharu

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Usaha negeri menganjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) (makanan dan minuman) tindakan tepat bagi membantu usahawan pascawabak Covid-19.

Acara sebahagian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 membuka ruang buat peniaga memasarkan produk selain mencari peluang baharu, kata EXCO perdagangan.

“Pada awalnya kita agak risau tetapi putuskan untuk meneruskannya selepas melihat perkembangan dan keyakinan kerajaan mengendalikan Covid-19,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau ditemui selepas melawat gerai pameran SIE 2021 diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Chang Khim berkata program itu turut mendapat reaksi positif dalam kalangan pempamer, lebih-lebih lagi apabila produk ditawarkan memikat perhatian pengunjung.

“Usaha Kerajaan Negeri menjadi platform bukan sahaja kepada usahawan tempatan tetapi dari negara luar seperti Indonesia, Filipina dan Australia,” katanya lagi.

SIBS 2021 berlangsung antara 18 hingga 21 November secara hibrid dan dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada Khamis.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.