Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Selangor percepat suntikan, bantu persekutuan atasi Covid-19

PETALING JAYA, 10 NOV: Inisiatif mitigasi antara Kerajaan Selangor dan persekutuan bagi menangani pandemik Covid-19 membuahkan hasil, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia termasuk pelaksanaan program Vaksin Selangor (Selvax) yang membantu menyuntik lebih ramai individu yang kini mencecah 75 peratus.

Beliau berkata usaha itu terus dipergiat apabila Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Remaja yang memperuntuk 150,000 dos bermula 24 Oktober lalu.

“Lembah Klang dan Selangor merekodkan lebih 89 peratus penduduk disuntik. Selvax Komuniti dan Industri menyumbang lebih 370,000 dos vaksin kepada pekerja kilang serta masyarakat,” katanya semalam.

Beliau berucap pada persidangan meja bulat bersama Dewan Perdagangan British Malaysia yang turut dihadiri EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim di Hotel Sheraton di sini.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri dengan kos RM200 juta bagi melengkap dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.