Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahli Dewan Diraja ketuai senarai penerima darjah, pingat Sultan Selangor

SHAH ALAM, 11 DIS: Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj menerima Darjah Kerabat Kedua (D.K.II) sempena Hari Keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Seramai tujuh penerima dikurniakan Darjah Kebesaran-Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Mohd Shafiq Abdullah.

Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran Dato’ dikurniakan kepada seramai sembilan individu antaranya Juruiring Tentera Sultan Selangor, Kepten Ahmad Ramli Kardi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 19 penerima.

Antara yang menerimanya adalah Pakar Kardiologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel Dr Mohd Rafizi Mohamed Rus, Pengarah Majlis Amanah Rakyat Selangor, Mohammad Mohd Yatim, Pengarah Lembaga Tabung Haji Selangor, Zurita Ahmad Raffie, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) dikurnikan kepada 14 penerima antaranya Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun.

Seramai 15 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S). Antara yang menerima darjah ini ialah Pegawai Staf 1, Gerak MALBATT 850-9, Leftenan Kolonel Mazli Mohamad Sain, Pakar Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Tan Ran Zhi dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi.

Baginda juga turut mengurniakan 14 penerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dengan antara yang menerimanya ialah Ketua Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Covid-19 Jabatan Agama Islam Selangor, Nurhelmi Ikhsan, Pengerusi Pertubuhan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol dan Penyelaras Pengurusan Jenazah Covid-19, Mohd Zainuddin Abu Bakar.

Tujuh penerima dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) dengan antara penerimanya ialah Penolong Pegawai Memerintah Rejimen Ke-7 Artileri Diraja Markas Tentera Darat, Syed Mohammad Abdillah Syed Talib dan Imam Masjid Negeri, Samsul Muhaimin Abdullah Saleh.

Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini memaklumkan seramai 86 tokoh dan individu bakal dikurnia darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember.

Dato’ Haris Kassim berkata daripada 990 pencalonan hanya 17 penerima atau kira-kira 1.7 peratus terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran.