Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan turun kepada 29,024

SHAH ALAM, 22 DIS: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 192 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri menurun kepada 29,024 orang setakat ini.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitternya sebentar tadi.

“Sebahagian telah mula kembali ke rumah untuk memulakan proses pembersihan sambil dibantu agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan seramai 4,669 mangsa banjir ditempatkan di 39 PPS daerah itu sehingga jam 8 pagi tadi.

Antara PPS paling ramai ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emereld seramai 610 orang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Pulau Indah (409), Sekolah Rendah Integrasi Tengku Ampuan Fatimah (368), SRA Integrasi Batu Belah (365) dan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda (350).

“Sebanyak 12 kematian dan 26 kes Covid-19 direkodkan setakat ini. Kita juga menyediakan dewan khas bagi mereka yang positif Covid-19 bagi pengasingan,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam pula berkata sebanyak 46 PPS dibuka kepada mangsa banjir sehingga semalam.

“Seramai 8,257 mangsa banjir ditempatkan di PPS dan kawasan yang dinaiki air semula di Batu Tiga namun air semakin surut,” kata Shahrin Ahmad.