Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kongsi kenangan Sungai Way melalui koridor sejarah

PETALING JAYA, 13 DIS: Penubuhan Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia bertujuan memberi pendedahan sejarah kawasan itu kepada masyarakat khususnya golongan muda.

Ketua Kampung Sungai Way berkata pihaknya mahu masyarakat khususnya penduduk setempat menghargai sejarah penubuhan dan kenangan Sungai Way.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi peluang berkongsi sejarah Sungai Way dengan membenarkan menggunakan bangunan ini selain kerjasama dan galakan penduduk dan ahli majlis.

“Sepanjang proses penubuhan koridor sejarah, kita mengambil masa lebih setahun untuk mengumpulkan semua bahan-bahan sejarah dan memperuntukan kos lebih RM100,000 sumbangan semua pihak,” kata Ding Eow Chai kepada SelangorKini.

Eow Chai berharap Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia dapat menarik pengunjung luar untuk melihat sendiri sejarah penubuhan Sungai Way.

“Koridor sejarah ini tidak dikenakan bayaran dan kami berharap dengan kewujudan pusat ini dapat memgembangkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han hadir merasmikan Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia di Dewan Serbaguna Sungai Way semalam.

Turut hadir wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Azmir.

Kampung Baru Seri Setia kini memiliki koridor sejarah sendiri yang mempamerkan pelbagai dokumen dan barangan antik untuk tatapan ramai.

Sze Han ketika merasmikan memaklumkan koridor pertama di Selangor itu perintis kepada kampung baru lain selain salah satu destinasi tarikan pelancongan.