Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 135 orang

KUALA TERENGGANU, 3 DIS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 135 orang daripada 44 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 45 orang daripada 10 keluarga pada 11.30 pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, terdapat dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Setiu menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ialah lima ketika ini.

“Dua PPS yang baru dibuka ialah di Masjid Kampung Merbau Menyusut yang menempatkan 42 mangsa (lapan keluarga) dan di Masjid Gong Terap yang menempatkan 48 mangsa (26 keluarga).

“Jumlah mangsa di tiga PPS sedia ada kekal tidak berubah iaitu Balai Raya Kampung Bari Besar yang menempatkan 16 mangsa (empat keluarga), Masjid Chalok Kedai yang menempatkan lima sekeluarga dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus yang menempatkan 24 mangsa (lima keluarga),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Chalok di daerah Setiu yang masih melepasi paras bahaya mula menunjukkan trend penurunan apabila merekodkan ketinggian 8.55 meter (m) pada 3.30 petang ini berbanding 9.46 m pada 11.30 pagi tadi. Paras bahaya di sungai itu ialah 8.40 m.

Di Besut, stesen bacaan Sungai Besut di Jambatan Keruak turut merekodkan trend penurunan iaitu 34.23 m berbanding 34.47 m sebelum ini. Paras amaran sungai tersebut ialah 34 m.

Selain itu, stesen bacaan di tiga lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu serta Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan di daerah Marang.

– BERNAMA