Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir: Pusat pemindahan selesa, mesra wanita

SEPANG, 19 DIS: Penyediaan bilik kecil di pusat pemindahan sementara (PPS) memberi keselesaan kepada mangsa banjir termasuk wanita beragama Islam.

Penduduk Kampung Labu Lanjut, Sepang, Abdul Khalid Malik, 52, berkata penjagaan aurat dititik berat wanita Islam ketika berada ditempat umum termasuk PPS.

“Bila sedia bilik-bilik ini lebih selesa dan ada pembahagi dengan keluarga lain,” katanya ditemui di Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu Lanjut di sini hari ini.

Bapa empat anak yang rumahnya hampir tenggelam sepenuhnya juga lega berikutan kemudahan lain termasuk peralatan mencegah Covid-19 turut disediakan.

“Ada juga disediakan pelitup muka untuk cegah virus. Boleh saya katakan kemudahan di PPS yang turut disediakan Kerajaan Negeri adalah baik.

“Walaupun tidak selesa seperti di rumah tetapi memadai. Keperluan lain macam makanan juga mencukupi,”

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PPS negeri dilengkapi keperluan asas termasuk bilik kecil bagi melindungi keperibadian ahli keluarga masing-masing.

Selain itu, pakaian, makanan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka turut diberi kepada mangsa banjir. Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd juga menyediakan kemudahan bekalan di PPS.

Penduduk kampung sama Mohd Fikri Mahat, 34, pula meminta pihak berkuasa mengkaji punca perkampungan itu sering terdedah kepada bencana banjir termasuk sistem perparitan.

“Baru sahaja banjir melanda kampung ini Oktober lalu tetapi tidak seteruk sekarang yang menyebabkan kami mengalami kerugian lebih besar.

“Kita minta pihak berkuasa buat kajian dan selesaikannya,” katanya lagi.