Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Tambahan 12 bot Pasukan Gerakan Am, NGO dikerah ke Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 19 DIS: Usaha bagi menyelamat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dipertingkatkan.

Terkini Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, tambahan sebanyak 12 bot dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah digerakkan ke lokasi tersebut.

Beliau memaklumkan perkara tersebut melalui Twitternya malam ini.

Sebelum ini laporan menyebut Kerajaan Negeri mengerahkan segala aset seperti bot bagi membantu proses membawa keluar mangsa banjir di Taman Sri Muda yang kritikal pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar berkata anggota tentera turut telah ditambah bagi membantu usaha tersebut.

Laporan Bernama menyebut sebahagian penduduk di Taman Sri Muda terpaksa mencari perlindungan di bumbung kediaman mereka setelah ditenggelami air susulan hujan lebat.