Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pihak berkuasa diminta kaji punca hasil padi merosot

SHAH ALAM, 14 DIS: Pihak berkuasa diminta melakukan kajian menyeluruh untuk menyelesaikan masalah hasil padi merosot yang menjejaskan 3,000 pesawah di Sabak Bernam.

Ahli Dewan Negeri Sabak Ahmad Mustain Othman berkata punca sebenar perlu dikenal pasti kerana masalah berkenaan masih berulang walaupun agensi terbabit sudah bertindak menukar benih dan baja.

Menurutnya masalah hasil padi menurun pernah mencecah sehingga 100 kilogram semusim hingga merugikan pesawah sekitar Parit Satu hingga Bagan Terap kerana mereka perlu membayar kos seperti sewa jentera.

“Saya sudah lama bangkitkan perkara ini dan dibantu Kerajaan Negeri, sekarang kita kena cari punca sebenar dengan melakukan kajian khas supaya penyelesaian jangka panjang dapat diambil.

“Saya berharap kajian ini dapat dilaksana segera untuk membela nasib pesawah di Sabak Bernam malah masalah itu turut berlaku di Sekinchan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 2 Disember lalu Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim turut membangkitkan masalah sama dan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi bantuan sebanyak RM2,000 kepada pesawah di kawasan jelapang padi di negeri ini.

Ini kerana katanya lebih 10,000 pesawah di Sekinchan, Sabak Bernam dan Permatang mengalami kerugian berikutan hasil tuaian merosot hampir 50 peratus iaitu daripada 10 tan kepada lima tan semusim.

Pada 12 Ogos lalu Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.79 juta bagi membantu lebih 10,000 pesawah negeri ini meningkatkan hasil tanaman mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan termasuk perbelanjaan meningkatkan hasil padi, membekal bahan kawalan serangga perosak, benih, pengurusan perosak dan pengeluaran padi.