PUCHONG, 24 DIS: Pasukan sukarelawan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyifatkan banjir di Selangor baru-baru ini jauh lebih dahsyat berbanding Pulau Pinang pada 2017.
Ketua Jabatan Pengurusan Krisisnya Mohammad Aidil Samsuri yang tiba di Puchong kelmarin terkejut melihat kemusnahan harta benda dan alam sekitar di kawasan terbabit.
“Kereta dan rumah habis tenggelam manakala perabot musnah. Saya ingat banjir di Seberang Perai paling teruk, rupanya di sini empat kali ganda lebih teruk.
“Insya-Allah kita sama-sama pulihkan segera. Saya harap orang Selangor kuat hadapi dugaan. Kami bantu yang termampu,” katanya selepas membersihkan Kampung Tengah dekat sini hari ini.
Mohammad Aidil berkata seramai 50 anggota MBSP dihantar ke Selangor mulai Rabu hingga minggu hadapan bagi membantu negeri itu melakukan pembersihan pascabanjir.
Pihaknya turut membawa 12 aset seperti jentera, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tong RORO (Roll On Roll Off) untuk memudahkan kerja Majlis Perbandaran Subang Jaya.
“Kami berpecah dua kumpulan. Satu lagi membantu Majlis Perbandaran Klang. Ini masa kami bantu semula sebab sebelum ini Selangor hantar pasukan tolong masyarakat Pulau Pinang,” katanya.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.