Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

70,000 mohon bantuan bah negeri, lebih separuh selesai diagih

GOMBAK, 23 JAN: Sebanyak 70,000 permohonan bantuan banjir RM1,000 diterima Kerajaan Negeri dengan lebih 41,000 isi rumah selesai mendapat manfaat setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan bagi meringankan beban mangsa membaik pulih rumah dan membeli keperluan kini tertumpu kepada mereka yang tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk menyalurkan bantuan terbabit meskipun menyasarkan 30,000 penerima sebelum ini.

“Kita buat pendaftaran dari semasa ke semasa cuma ambil masa (untuk diagihkan) kerana setiap permohonan perlu ada pengesahan kerana membabitkan dana kerajaan.

“Kita juga dapati ada yang ambil kesempatan, jumlahnya kecil sahaja tetapi kita mahu mengelakkan perkara itu,” katanya selepas menyerahkan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Amirudin menambah mangsa juga perlu mengisi borang sama untuk memohon Bantuan Wang Ihsan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.