Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

900 keluarga terjejas banjir DUN Meru terima bantuan RM1,000

KLANG, 19 JAN: Seramai 900 keluarga terjejas banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menerima sumbangan RM1,000 melalui program Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar memberitahu agihan hari ini adalah yang kedua selepas kali pertama diadakan pada awal Januari.

“Sebahagian penerima sudah menerima bantuan yang diberi di pejabat daerah dan tidak semestinya hadir ke pejabat khidmat masyarakat.

“Saya jangka siri agihan sumbangan RM1,000 diadakan lagi pada minggu depan dan berharap bantuan dapat diberikan segera bagi membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar meninjau proses program Serahan Bantuan Banjir DUN Meru di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Fakhrulrazi turut menasihatkan mangsa banjir yang masih belum membuat permohonan melakukannya dengan segera sebelum 31 Januari depan.

“Buat masa ini, kita masih lagi menerima permohonan mangsa banjir. Setiap permohonan dinilai dan kita akan bantu supaya urusan mereka dipermudahkan.

“Namun, ingin saya jelaskan tidak semua permohonan diluluskan kerana tidak menepati syarat seperti setiap individu dalam rumah memohon bantuan atau pemohon bukan mangsa banjir,” katanya

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai hujung bulan ini.