Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak cegah jangkitan wabak, tingkat daya tahan

SHAH ALAM, 12 JAN: Masyarakat wajar mengambil dos penggalak bagi meningkatkan daya tahan badan dan mengelakkan risiko jangkitan Covid-19, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Berdasarkan data dan sains, Dr Mohammad Farhan Rusli menjelaskan setiap vaksin dalam badan mempunyai tempoh hayat berbeza manakala tahap keberkesanan bergantung kepada jenis pelalian.

Beliau memaklumkan dos ketiga banyak mengurangkan kes kematian harian, jumlah kemasukan ke hospital, mengawal jangkitan tahap empat dan lima serta mengelak varian baharu.

“Dari awal lagi (penularan Covid-19) kita sudah maklumkan tidak tahu berapa lama vaksin bertahan sebab ini benda baharu. Bukan kajian yang sudah dibuat lima tahun lalu.

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Percayalah tiada kerajaan mahu laburkan kos tinggi. Kita bukan hendak cederakan rakyat tetapi kurangkan risiko jangkitan dan kematian,” katanya.

Beliau bercakap pada program Bual Bicara: Perlukan ‘Booster’ Keempat? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor semalam.

Dr Farhan berkata orang awam perlu tahu beberapa jenis vaksin dan kekerapan suntikan sama ada sekali seumur hidup, setiap tahun atau lima tahun sekali bagi mengekalkan daya tahan seseorang.

Beliau berpandangan dos penggalak tidak sepatutnya dijadikan isu berikutan ada beberapa jenis vaksin bagi penyakit seperti influenza yang sebenarnya perlu diambil setiap tahun.

“Tetapi isunya tidak berbangkit. Bila perlu ambil untuk Covid-19, masyarakat seolah-olah terkejut seperti lupa setiap vaksin berbeza daya tahan,” katanya lagi.

Pada Disember lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mengkaji keperluan suntikan dos keempat susulan penularan varian Omicron.