Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa bah Kuala Langat tidak hadir terima bantuan RM1,000 diminta ke pejabat daerah

SHAH ALAM, 7 JAN: Mangsa banjir di Kuala Langat yang tidak dapat hadir ke majlis penyampaian Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 boleh ke Pejabat Daerah / Tanah sehingga jam 4.30 petang ini.

Pejabat Daerah / Tanah Kuala Langat menerusi Facebook memaklumkan mangsa banjir yang hadir adalah bagi mereka yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja.

Ketua isi rumah hadir bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Anidah Sadar (Unit Kewangan) di talian 03-31822574.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.