SHAH ALAM, 6 JAN: Sumber air Sungai Gong, Rawang kini lebih bersih selepas menjalani rawatan menggunakan teknologi nano menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) indeks bekalan air di kawasan itu juga mencatatkan peningkatan yang baik berikutan penghasilan air beroksigen semula jadi.
“Kualiti air di kawasan Projek Perintis Pemulihan Bio Sungai Gong yang dijayakan Lembaga Urus Air Selangor kini menunjukkan hasil yang memuaskan.
“Sumber air yang keruh di kawasan Sungai Gong kini lebih bersih kerana pengurangan sedimen yang terkumpul,” menurut Air Selangor di Facebook.
Syarikat itu turut berkongsi gambar menunjukkan perbezaan kualiti air sebelum dan keadaan terkini Sungai Gong selepas menjalani rawatan pemulihan.
Sehubungan itu, Air Selangor menasihatkan orang ramai agar bertindak segera dengan melapor insiden pencemaran bagi memastikan sumber air mentah terus terpelihara.
“Bagi memastikan kita dapat terus memelihara dan memulihara sumber air mentah ini, marilah kita bersama-sama bertindak segera sekiranya berlaku sebarang insiden pencemaran pada masa akan datang,” menurut Air Selangor lagi.
Dato’ Menteri Besar pada 7 Disember 2020 memaklumkan Selangor menggunakan teknologi nano untuk membersih dan menjernih sumber air secara semula jadi ketika berlaku pencemaran.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah tersebut berupaya meningkatkan oksigen terlarut, menghilangkan bau, menghapus minyak dan gris dan mengurangkan logam berat.
Pada 26 November 2020, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim mengumumkan Sungai Gong dijadikan projek rintis penggunaan teknologi berkenaan.