Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Badminton Asia: Kisona harap mampu kuasai gelanggang pada aksi kedua esok

SHAH ALAM, 15 FEB: Pemain perseorangan wanita negara S Kisona berharap mampu menguasai keadaan dalam gelanggang pada saingan kedua peringkat kumpulan menentang India esok.

Kisona, 24, berkata keadaan angin dalam gelanggang menjadi punca kekalahan 12-21, 16-21 terhadap pemain Jepun Nidaira Natsuki pada aksi pembukaan kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 hari ini.

Beliau mengakui tempoh 38 minit saingan cukup menarik, namun lawannya itu yang berada pada kedudukan ke-72 dunia nyata lebih menguasai gelanggang.

“Saya nampak kurang kesilapan yang dibuat hari ini, cuma angin terlalu kuat dan saya tidak biasa. Lawan pula dapat kawal (angin) lebih baik daripada saya.

“Banyak kali bulu tangkis keluar ke belakang. Kalau saya kurangkan (hantar bulu tangkis ke belakang), besar kemungkinan boleh menang perlawanan ini.

“Jadi, saya harap boleh buat lebih baik berbanding hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Sementara itu, Kisona yang berada pada kedudukan ke-64 dunia berkata ketiadaan pemain beregu M Thinaah yang disahkan positif Covid-19 tidak melunturkan semangat skuad wanita negara untuk menampilkan aksi terbaik.