Categories
AGENDA NASIONAL

Badminton Asia: Skuad wanita tumbangkan Jepun

SHAH ALAM, 15 FEB: Skuad wanita negara memulakan saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 dengan bergaya selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Jepun  3-2  dalam perlawanan kumpulan Y sebentar tadi.

Pada perlawanan pembukaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini itu menyaksikan pemain perseorangan negara S Kisona gagal menghadiahkan mata pertama selepas tewas 12-21, 16-21 kepada Nidaira Natsuki.

Eoon Qi Xuan yang turun selaku perseorangan kedua turut kecundang kepada lawannya Riko Gunji 17-21, 7-21 dalam aksi selama 33 minit.

Bagaimanapun, pemain perseorangan ketiga negara Siti Nurshuhaini kembali menyuntik semangat rakan sepasukan apabila menundukkan Hina Akechi 21-16, 22-20.

Mata penyamaan negara hadir menerusi beregu wanita Valeree Siow-Pearly Tan yang menang ke atas Rui Hirokami-Yuna Kato 24-22, 21-18.

Beregu wanita Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing pula memastikan kemenangan buat pasukan negara apabila mudah membenam Hina Akechi-Riko Gunji 21-12, 21-5.

Pasukan wanita negara akan membuat perhitungan dengan India pada perlawanan kedua peringkat kumpulan jam 4 petang esok.