Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah bantu 6,709 usahawan kembang niaga tahun lepas

SHAH ALAM, 8 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membantu seramai 6,709 usahawan mengembangkan perniagaan mereka tahun lepas, kata pengarah eksekutifnya.

Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pinjaman itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM87 juta.

Jelas beliau, peminjam terdiri daripada pelbagai sektor seperti perniagaan, pemprosesan, makanan, perkhidmatan dan peruncitan.

“Jumlah peminjam pada 2021 mencatat peningkatan susulan ada terkesan akibat pandemik, hilang pekerjaan dan menambah perniagaan baharu.

“Secara keseluruhan, jumlah pinjaman diberikan kepada peminjam berjumlah RM88 juta berbanding sasaran RM81 juta,” katanya selepas mengunjungi tiga usahawan Hijrah hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Supardi berkata secara keseluruhan seramai 58,000 usahawan mengembangkan perniagaan sejak ditubuhkan tujuh tahun lepas.

Pada awal penubuhan Hijrah, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta untuk mengupayakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Inisiatif membantu usahawan ditambah baik menerusi program Zero To Hero yang melaksanakan konsep melatih dan memantau peserta dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Pada 10 Februari tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan NaDi bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.