KUALA LUMPUR, 6 FEB: Menghidu bau busuk tempoyak rosak bercampur lumpur antara pengalaman mencabar ditempuh pelakon Haneesya Hanee ketika menyertai misi pembersihan pascabanjir di Hulu Langat pada Disember tahun lalu.
Menceritakan detik itu, pemilik nama lengkap Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan, 22, berkata bau menyengat seakan durian dihidu ketika memasuki kawasan perumahan di Batu 10 untuk melaksanakan aktiviti pembersihan.
“Sejurus tiba di hadapan sebuah rumah ini, saya hidu bau kurang enak serta tidak menyenangkan. Saya menyangka dia meniaga durian dan apabila masuk ke dalam, masya-Allah terkejut melihat banyak tempoyak jatuh ke lantai yang bercampur dengan lumpur.
“Tetapi bagaimana hendak buat sebab kita datang dengan niat untuk bantu. Kalau asyik fikir benda itu (bau busuk) jadi tidak ikhlas pula,” katanya ditemui pada majlis makan malam anjuran Pertubuhan Kebajikan Warisan Kota sempena meraikan sukarelawan banjir di International Youth Club Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini semalam.
Bekas juara Dewi Remaja 2018/2019 turut mengakui bangga kerana berpeluang mengerah keringat bersama ratusan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi meringankan beban dan penderitaan dialami mangsa bencana di kawasan terbabit.
Meski tangan terkena jangkitan kulit selepas sebulan menyertai misi berkenaan, Haneesya berkata pengalaman berharga itu banyak mengajarnya untuk bersyukur dengan nikmat dikecap ketika ini selain lebih cekal mengharungi pancaroba kehidupan.
“Sejujurnya selepas bantu mangsa banjir, tangan saya terkena infeksi seperti kurap tetapi sekarang sudah semakin membaik. Cuma apa saya ingin katakan, kerja keras bantu mereka yang sedang dalam kesusahan amat berbaloi.
“Walaupun penat mental dan fizikal, kerja kesukarelawanan ini membuatkan minda saya terbuka dan bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Kita masih mempunyai rumah selesa serta barang keperluan cukup sedangkan mangsa banjir sudah tiada apa-apa lagi,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Fahmi Perwira Madahab Amril, 26, berkata dia bersama 13 sukarelawan terpaksa bergelut selama enam jam untuk mencuci lumpur setinggi paras lutut di sebuah kediaman dihuni seorang warga emas bersama tiga ahli keluarga.
“Situasi bertambah rumit apabila banyak barang seperti baju, perabot, kotak dan kertas dalam rumah tersebut. Jadi kami fikir memang agak mustahil jika pemilik rumah mampu bersihkan sendiri ‘selut’ berkenaan.
“Rumah mereka juga rosak sepenuhnya dan tiada apa yang boleh diselamatkan memandangkan air naik melepasi bumbung pada kejadian 18 Disember lepas,” katanya menambah sebanyak 150 rumah mangsa sekitar Batu 10 berjaya dibersihkan dalam tempoh sebulan dengan kekuatan 300 anggota.