SHAH ALAM, 6 MAC: Padanan perniagaan dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 mencatat transaksi bernilai RM37.73 juta.
EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata jumlah berkenaan di luar jangkaan kerana sasaran sebelum ini hanya RM20 juta.
“Saya terkejut selepas dimaklum pihak urusetia jumlah traksasi atau MoU (memorandum persefahaman) sebanyak RM37.73 juta.
“Insya-Allah kita akan memantau perkembangan ini dan sejauh mana kejayaan urus niaga tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis penangguhan Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
Padanan perniagaan antara tiga komponen diketengahkan dalam persidangan julung kali anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor.

Program tiga hari dan berakhir hari ini turut menyediakan forum serta ekspo kepada pengunjung.
Sebanyak 100 pempamer turut serta dalam acara mulai 10 pagi hingga 9.30 malam membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.