Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN pantas respon masalah penduduk, isu gangguan air selesai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 OGOS : Kurang 24 jam rungutan penduduk Kampung Baru Hicom Seksyen 26 berhubung isu paip bocor di perumahan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan, Shuhaimi Shafiei bertindak pantas mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjalankan kerja-kerja pemeriksaan serta-merta.

Shuhaimi selaku ADN Sri Muda berkata, gesaan itu dibuat atas prinsip tanggungjawab beliau selaku wakil rakyat kawasan untuk memastikan rakyat mendapatkan hak mereka sebagai pengguna.

“Aduan dikemukakan kepada saya dibawa kepada pihak Air Selangor cawangan Klang dan Shah Alam bagi tujuan semakan dan gerak kerja.

“Komitmen ini pastinya dilakukan untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya selaku wakil rakyat di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Aduan1Semalam, SelangorKini mendedahkan keluhan penduduk kawasan berkenaan berhubung masalah paip bocor yang menyebabkan isu gangguan air berlaku.

Penduduk mendakwa, 20 aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib, namun masih tiada sebarang gerak kerja dijalankan.

Penyelesaian akhir, penduduk membawa isu berkenaan kepada SelangorKini bagi mendapatkan respon balas daripada Shuhaimi sebagai mengulas kemelut di kawasan berkenaan.

Susulan daripada pendedahan itu, pasukan siasatan khas SYABAS yang diketuai Pengurus Teknikal SYABAS Wilayah Klang dan Shah Alam, Asrul Azam Abdullah turun pada menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, Azrul Azam berkata, masalah paip bocor berpunca daripada faktor paip lama yang memerlukan gantian paip baru yang lebih kukuh.

SYABAS turut melantik panel kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan lewat petang semalam.

Sementara itu, penduduk Sufian Hadi Hosen menghargai respon pantas wakil rakyat Shuhaimi dan kerjasama pelbagai agensi bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Terima kasih kepada wakil rakyat kerana bertindak segera atas aduan diterima. Sepatutnya pihak bertangunggjawab boleh selesaikan hal ini tanpa perlu melalui YB (Yang Berhormat).

“Kalau semua aduan daripada YB baru semua kerja dilaksanakan segera, tidak perlulah kaunter aduan rakyat, baik tukar kaunter aduan YB,” katanya.

=EZY=