Categories
NASIONAL

Mesyuarat MB dan CM Dedah Sikap Pilih kasih PM

SHAH ALAM 23 FEB : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bersikap pilih-kasih dan tidak professional apabila beliau mengenepikan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat daripada menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

Dakwaan ini dibuat oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tindakan Najib yang tidak memanggil Menteri Besar Selangor, Kelantan, Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 di Putrajaya, Selasa lalu.

“Adalah amat tidak professional untuk Perdana Menteri mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat yang membincangkan kebajikan rakyat.

“Apatah lagi rakyat dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menyumbang lebih dari setengah hasil ekonomi Malaysia,” jelas Abdul Khalid dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor hari ini.

Mesyuarat yang bermula pada 10 pagi itu dipengerusikan oleh Najib Razak dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta beberapa menteri Kabinet.

Mesyuarat itu bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri-negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Malangnya hanya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri Umno-BN sahaja dijemput hadir.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid menambah sikap yang dipamerkan Najib bukan sahaja membuktikan bahawa konsep 1Malaysia itu sekadar gimik politik malah ia juga memberi kesan buruk kepada proses transformasi yang ingin beliau Najib lakukan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor menyeru Perdana Menteri untuk membuat satu penjelasan kepada media bahawa mesyuarat tersebut adalah sebenarnya Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.