Categories
AGENDA NASIONAL

Cari kerja baharu untuk dekat dengan keluarga, tambah simpanan

SHAH ALAM, 23 OKT: Tuntutan kerja sebagai juruteknik di kilang memproses alat perubatan di Pulau Pinang memaksa Mohd Farid Munawar berpisah dengan keluarganya di Klang.

Jawatan itu diterima selepas dia diberhentikan kerja sebagai penyelia syarikat aeroangkasa di Subang awal tahun ini selepas lebih tiga tahun berkhidmat.

Mengakui berjauhan bersama orang tersayang bukan perkara mudah, Mohd Farid, 46, berkata sebahagian gajinya habis ketika pulang bertemu keluarga sekali gus mengekang hasratnya untuk menabung.

Bagaimanapun, penganjuran Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak di sini membuka ruang buatnya mencuba nasib mencari kerja baharu supaya dapat kembali menetap di negeri ini.

“Sebab itu saya cuba cari kerja di Selangor supaya dapat tinggal bersama keluarga dan berjimat. Bila dengar program ini, saya terus daftar untuk mencuba nasib,” katanya ditemui hari ini.

Dia antara ribuan peserta program tersebut yang menawarkan hampir 3,000 peluang kerja dari 40 majikan pelbagai sektor termasuk aeroangkasa.

Sementara itu, graduan Kolej Universiti Islam Selangor Nor Syazwani Zulkefli, 22, menyifatkan inisiatif itu memudahkan individu yang berdepan masalah kurang mendapat maklumat kerja.

“Dalam program ini kita lihat banyak peluang kerja dalam satu plaftorm, tidak perlu susah payah. Saya berharap ia dapat diteruskan kerana ramai individu memerlukan kerja,” katanya yang berasal dari Sabak Bernam.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang dijadual bermula 23 Oktober hingga 27 November menawarkan lebih 25,000 peluang kerja secara hibrid di seluruh negeri.

Anggaran masa pencari kerja semasa di ruang temu duga tidak lebih sejam selain perlu mempamerkan bukti vaksinasi lengkap dan mendaftar masuk melalui MySejahtera atau SELangkah.

Berikut tarikh dan lokasi jelajah:

1. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (23 Oktober)
2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (30 Oktober)
3. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)
4. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)
5. Dewan Meranti, Paya Jaras (20 November)
6. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)