Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah saringan kesihatan percuma 56 DUN mula Mac depan

PETALING JAYA, 13 FEB: Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor) anjuran Kerajaan Negeri menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Mac depan.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata program pemeriksaan kesihatan percuma itu memfokuskan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk.

Jelas beliau, inisiatif itu membolehkan orang ramai mengesan penyakit pada peringkat lebih awal.

“Terdapat empat jenis saringan yang akan dilakukan di peringkat komuniti iaitu mammogram, serviks, kolorektal dan prostat. Ujian semua penyakit ini boleh dijalankan di lapangan bagi mendapatkan sampel.

“Sekiranya mereka dijangkiti kita boleh mengambil langkah peringkat awal untuk mencegahnya berbanding rawatan. Ini salah satu usaha Kerajaan Negeri mengambil berat tentang kesihatan awam,” katanya.

Beliau ditemui pada Program PCR Ujian Virus Papiloma Manusia (HPV)Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Damansara Damai hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan negeri yang pada 26 November tahun lalu menyediakan dana bagi tiga skim rawatan iaitu jantung, tibi dan Slim Selangor bagi mengatasi obesiti berjumlah RM6.1 juta.

Sebanyak RM5 juta pula diperuntuk untuk pencegahan dan kawalan denggi dengan meneroka teknologi baharu seperti dron bagi mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM1 juta untuk rakyat Selangor menjalani saringan mammogram, serviks, kolorektal dan prostat.