Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah saringan kesihatan percuma 56 DUN mula Mac depan

PETALING JAYA, 13 FEB: Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor) anjuran Kerajaan Negeri menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Mac depan.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata program pemeriksaan kesihatan percuma itu memfokuskan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk.

Jelas beliau, inisiatif itu membolehkan orang ramai mengesan penyakit pada peringkat lebih awal.

“Terdapat empat jenis saringan yang akan dilakukan di peringkat komuniti iaitu mammogram, serviks, kolorektal dan prostat. Ujian semua penyakit ini boleh dijalankan di lapangan bagi mendapatkan sampel.

“Sekiranya mereka dijangkiti kita boleh mengambil langkah peringkat awal untuk mencegahnya berbanding rawatan. Ini salah satu usaha Kerajaan Negeri mengambil berat tentang kesihatan awam,” katanya.

Beliau ditemui pada Program PCR Ujian Virus Papiloma Manusia (HPV)Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Damansara Damai hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan negeri yang pada 26 November tahun lalu menyediakan dana bagi tiga skim rawatan iaitu jantung, tibi dan Slim Selangor bagi mengatasi obesiti berjumlah RM6.1 juta.

Sebanyak RM5 juta pula diperuntuk untuk pencegahan dan kawalan denggi dengan meneroka teknologi baharu seperti dron bagi mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM1 juta untuk rakyat Selangor menjalani saringan mammogram, serviks, kolorektal dan prostat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia rugi RM8 bilion setahun akibat penyakit tidak berjangkit

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Penyakit tidak berjangkit (NCD) terutamanya penyakit kardiovaskular, kencing manis dan kanser menyebabkan negara menelan belanja sebanyak RM8.91 bilion atau menyamai 0.65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau berkata kos itu dikira berdasarkan kerugian produktiviti akibat ketidakhadiran, kedatangan ke tempat kerja dan kematian pramatang usia bekerja penduduk di Malaysia.

“Selain kerugian produktiviti, penyakit tidak berjangkit turut meninggalkan beban kesihatan kepada negara akibat kecacatan dan kehilangan hidup yang sihat bertahun-tahun, dipanggil kos beban penyakit.

“Ini adalah kos tidak ketara yang dianggarkan sekitar RM100.79 bilion, bersamaan dengan 7.35 peratus KDNK,” katanya dalam kenyataan bersama WHO, hari ini.

Laporan yang dikeluarkan hari ini bertajuk ‘Kesan Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risiko Terhadap KDNK Malaysia’ yang menggunakan data 2017.

Dr Noor Hisham juga berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan kelaziman NCD di negara ini terus meningkat.

Sementara itu, wakil WHO di Malaysia Dr Lo Ying-Ru berkata NCD selalu dikaitkan dengan kos penjagaan kesihatan, namun bukti seperti laporan ini menunjukkan bagaimana NCD menghalang kemajuan sosial dan ekonomi negara.

“Setiap kecacatan dan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit adalah tragis kerana kita tahu ia boleh dicegah.

“Jika kita tidak mampu menguruskan NCD di negara ini, ia akan menyebabkan kesan yang signifikan terhadap kesihatan dan ekonomi. Kita memerlukan pendekatan kerajaan dan masyarakat secara menyeluruh dan menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.

Menurut laporan itu, diet yang tidak sihat menyumbang kepada dua pertiga (68.9 peratus) kos kehilangan produktiviti akibat kematian pramatang penyakit kardiovaskular sementara penggunaan tembakau menyumbang kepada lebih satu pertiga (36.9 peratus) kerugian.

Penggunaan tembakau juga menyumbang kepada kerugian terbesar akibat barah (15 peratus).

Negara-negara anggota WHO menyedari pentingnya menangani NCD untuk mencapai pembangunan lestari, justeru Agenda Pembangunan Lestari 2030 menyeru pengurangan kematian pramatang daripada NCD sebanyak satu pertiga menerusi langkah pencegahan dan kawalan.

Kerajaan Malaysia telah menangani cabaran ini dengan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025 serta strategi dan perancangan nasional berkaitan bertujuan mengurangkan faktor risiko NCD.

“Malaysia telah menunjukkan komitmen politik tertinggi dengan mewujudkan Jawatankuasa Kabinet untuk Persekitaran Mempromosikan Kesihatan bagi menyokong tindak balas kerajaan dalam menangani NCD. Ketika kami bekerja keras menangani NCD hingga ke akarnya, jelas sekali masih banyak yang perlu dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengemukakan komen mengenai Kesan Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risikonya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar kepada KKM dan WHO hingga 1 Oktober ini menerusi e-mel kepada [email protected].

– BERNAMA