Categories
WANITA & KEBAJIKAN

Kahwin bawah umur: Kesesuaian & permasalahan dalam konteks moden

Oleh Nurul Farina Nazlan

KEGAGALAN perkahwinan pasangan muda, Nor Fazira Saad dan Mohd Fahmi Alias membawa pelbagai reaksi di kalangan masyarakat apabila mereka bercerai talak tiga di Mahkamah Syariah Kulim, 11 November lalu.

Ia berlaku kurang seminggu sebelum Fazira, 13 dan Fahmi, 20, menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka yang hangat dalam media lantaran bernikah pada usia muda, setahun lalu.

ceraiPerkembangan itu menimbulkan kegusaran sama ada gadis bawah umur 16 tahun harus dibenarkan bernikah sekalipun asas perkahwinan dilihat masih mentah dan pemikiran pula dianggap belum matang.

Senario hampir sama berulang apabila  Muhamad Haikal Farith, Mohd Shah, 15, bernikah dengan Nur Hazwani Mohd Kamal, 16, yang masih belajar dalam tingkatan empat, 7 Disember lalu.

Apakah mereka bakal mengulangi nasib  Fazira dan Fahmi? Semoga tidak tetapi benarkah usia penentu panjang pendeknya jodoh perkahwinan?

Tokoh agama, Datuk Haron Din menyifatkan masalah perkahwinan tidak boleh diambil mudah dan percaya kegagalan bukan disebabkan faktor usia.

“Ada orang berkahwin muda tetapi tiada masalah tetapi pasangan lebih berusia pula sebaliknya. Tidak salah berkahwin muda kerana Islam turut menganjurkannya.

“Kes itu tidak boleh dijadikan alasan kahwin muda sebagai faktor perceraian. Asas utama ialah kesedaran pasangan untuk berkahwin dan mampu tunaikan tanggungjawab.

“Kes pasangan muda yang bercerai itu (Fazira dan Fahmi) kes terpencil,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Namun, beliau menekankan kepentingan bakal pengantin mempersiapkan diri dengan ilmu dan sedia menerima tangungjawab sebagai suami atau isteri.

“Ramai berkahwin muda berjaya mempertahan rumah tangga mereka walaupun kadar perceraian pasangan Islam di Malaysia antara tertinggi di dunia.

“Falsafah Islam dalam mendirikan rumah tangga itu sangat tinggi, ibarat membina masjid. Setiap pasangan perlu sedar falsafah ini jelas, kalau kita robohkan rumah tangga, ibarat merobohkan rumah Allah,” katanya.

Mengikut laporan media, Fazira mendirikan rumah tangga dengan Fahmi pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012.

Mereka mendapat perintah kebenaran untuk bernikah bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

jksaStatistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menunjukkan 1,165 permohonan berkahwin pada 2012 dan 1,022 daripadanya diluluskan Mahkamah Syariah.

Pada 2011, hanya ada kira-kira 900 permohonan perkahwinan dan JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan dan 446 daripada jumlah itu sudah diluluskan, sehingga Mei lalu.

Di Malaysia, umur minimum perkahwinan ialah 18 tahun tetapi perempuan beragama Islam bawah usia 16 tahun perlu mendapat keizinan Mahkamah Syariah.

Bagi Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi Hal Ehwal Wanita (HELWA), Fadhlina Sidek, perkahwinan sangat dianjurkan Islam tetapi perlu diiringi dengan sifat bertanggungjawab.

Peguam Syariah itu, berkata seluruh ahli keluarga perlu memainkan peranan tetapi mengakui perkahwinan bawah umur 16 tahun dilihat tidak sesuai dalam konteks kehidupan masa kini.

“Pasangan muda perlu tangani konflik apabila membuat keputusan melangsungkan perkahwinan. Corak perkahwinan orang muda selalunya disertai dengan sifat tidak sabar.

“Ilmu rumah tangga penting dan suami tidak boleh dengan mudah menjatuhkan talak ke atas isteri, apatah lagi talak tiga.

“Pasangan muda harus sabar dan dapatkan panduan pejabat agama, kaunselor, ibu bapa dan ahli keluarga lain sebelum membuat keputusan.

“Kerana ada pasangan tidak tahu hukum agama dan cara menangani konflik sedangkan ilmu pengurusan rumah tangga itu sangat penting,” katanya.

Lain pula pendapat ibu muda dikenali sebagai Nadia yang kini berusia 30 tahun yang berkahwin pada usia 18 tahun dan kekal bahagia hingga kini.

“Sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga. Kami sebaya dan saling mengenali sejak sekolah menengah yang sama. Kini, kami dikurniakan empat cahaya mata berusia 11 hingga dua tahun.

Pun begitu, beliau mengakui ibu bapa mereka sentiasa memberi dorongan positif terutama berkaitan selok belok rumah tangga.

“Banyak cabaran terutama pandangan masyarakat yang menganggap kami sudah terlanjur, selain kecaman bagaimana suami ingin menyara keluarga kerana tiada kewangan kukuh.

“Namun, saya tetap yakin dengan janji Allah jika perkahwinan yang diredhai akan dipermudahkan rezeki mereka,” katanya yang mengakui ada kala dugaan melanda perkahwinan tetapi ia ditepis dengan sabar.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri. Apapun, sokongan keluarga sangat penting kepada pasangan muda untuk melayari bahtera rumah tangga.

“Ibu bapa perlu memandang jauh dan berfikiran terbuka dan tidak terlalu melayan karenah masyarakat. Namun, pasangan muda perlu persiapan mental dan fizikal dalam menangani cabaran masyarakat luar.

Nadia mengakui ‘darah muda’ antara masalah pasangan muda yang mahu berkahwin tetapi mengingatkan mereka kesabaran penting untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Ramai gagal sebelum mencapai usia 10 tahun perkahwinan. Banyak faktor menjadi punca seperti terlalu mengongkong, tidak setia dan benci dengan kerenah pasangan.

“Allah menurunkan sedikit ujian buat hamba-Nya tetapi sayangnya, kita terlalu mudah tewas dengan hasutan syaitan,” katanya yang percaya kepentingan keredhaan ibu bapa dan menolak amalan kahwin lari.
* Nurul Farina Nazlan ialah Editor BM (online) Selangor Kini.