Categories
NASIONAL PENDIDIKAN SELANGOR

Jalinan antarabangsa cetus aura baru dunia pendidikan

OLEH AFEEQA AFEERA

PADANG, 13 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) akan terus mengadakan kerjasama antarabangsa untuk mewujudkan impak baru kepada dunia pendidikan, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komunitinya, Profesor Dr Shaharudin Badaruddin berkata, kerjasama konstruktif antara universiti diyakini menghasilkan impak besar dan membantu membina generasi bakat (talent bank) yang hebat.

“Bagi pihak universiti, saya mengucapkan tahniah kepada Universitas Dharma Andalas yang bekerjasama memartabatkan pendidikan tinggi.

“Kerjasama antara universiti Malaysia dan Indonesia boleh memberikan dampak positif kepada aspek ekonomi juga sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Persidangan Tahunan Ekonomi, Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial (ACEBASS) 2017, di Aula Bank Indonesia, di sini.

Seminar terbabit bertemakan “Sustainability Development In Achieving Economic Independence” yang turut menampilkan ahli akademik dari universiti Malaysia juga Indonesia.

Mengulas penganjurannya, Dr Shaharudin berkata, ia bertepatan dengan dunia hari ini yang berdepan perubahan global tidak menentu sehingga memberi kesan kepada banyak negara.

“Mengadakan seminar seperti ini dapat membuka mata kepada banyak pihak, khususnya mahasiswa untuk mewujudkan wilayah maju dan mampan,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN SELANGOR

ACEBASS 2017 buka tirai hari ini

OLEH AFEEQA AFEERA

PADANG, 13 OKT: Persidangan Tahunan Ekonomi, Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial (ACEBASS) 2017 membuka tirai, hari ini sebagai usaha memartabatkan pendidikan tinggi antara Selangor, Malaysia juga Indonesia.

Acara yang berlangsung di Aula Bank Indonesia itu menampilkan wakil dari Universiti Selangor (UNISEL) diketuai Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komunitinya, Profesor Dr Shaharudin Badaruddin.

Manakala Universitas Dharma Andalas yang menjadi rakan kolaborasi diketuai Rektornya, Dr Rahmi Fahmy dan turut dihadiri Gabenor Sumatera Barat, Profesor Dr. H. Irwan Prayitno.

Sesi pembentangan utama persidangan terbabit disampaikan Menteri Pemberdayaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi Indonesia, Dr Asman Abnur.

Persidangan bertemakan “Sustainability Development In Achieving Economic Independence” itu turut menampilkan ahli akademik dari pelbagai universiti mewakili Malaysia dan Indonesia.

Antaranya Profesor Amran Md Rasli dari Universiti Teknologi Malaysia; Emeritus Profesor Dato’ Dr Wan Hashim Wan Teh (Universiti Pertahanan Malaysia); Profesor Dr Setyawan Widyarto (UNISEL); Profesor Herri (Universitas Andalas) dan delegasi Bank Indonesia.