Categories
NASIONAL

APMM tumpas 40 kes penyeludupan RM22 juta sepanjang 2018

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan sebanyak 40 kes penyeludupan membabitkan dadah, rokok, minuman keras, senjata api dan barangan kawalan subsidi yang dianggarkan bernilai RM22 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, kejayaan itu mencerminkan kematangan pengoperasian APMM yang baharu menjengah satu dekad penubuhannya.

“Daripada jumlah itu, banyak kes penyeludupan rokok dan minuman keras melalui bot telah digagalkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM12.9 juta di perairan Kuala Selangor.

“Sepanjang tahun lalu juga, APMM telah tangani 84 kes pendatang asing tanpa izin (PATI) di Zon Maritim Malaysia (ZMM) membabitkan penahanan seramai 531 orang PATI.

“Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing (BNA) pula, sebanyak 110 tangkapan berjaya dilakukan dengan mengutip hampir RM1 juta, hasil menerusi denda nelayan asing, pelupusan vessel, kompaun dan lelongan ikan bagi tahun lalu,” katanya kepada BBERNAMA selepas hadir ke program Ruang Bicara, Bernama News Channel (BNC) di sini, semalam.

Beliau berkata, kejayaan demi kejayaan telah APMM capai membabitkan sebanyak 842 kes atas pelbagai kesalahan seperti kes jenayah rompakan, aktiviti penyeludupan, penyeludupan migran (PATI) dan juga pencerobohan bot nelayan asing (BNA).

Katanya, daripada jumlah itu juga, terdapat kes berprofil tinggi seperti kes menumpaskan sindiket rompakan kapal dagang membabitkan kapal tangki MT Lee Bo lebih kurang 6.5 batu nautika dari Pulau Tinggi di Johor.

Dalam pada itu, Zulkifili berkata, kadar indeks jenayah maritim telah menurun tahun demi tahun dengan mencatatkan penurunan sebanyak 2.23 peratus pada tahun lalu berbanding 12 tahun lalu yang mencatatkan peratusan sebanyak 48.06 peratus.

Beliau berkata, APMM melihat penurunan itu sebagai kesan positif terhadap pematuhan undang-undang di laut dan disebabkan oleh peningkatan penguatkuasaan melalui rondaan, pemeriksaan dan tangkapan yang dilakukan oleh pihaknya dalam menentukan ZMM selamat dan aman bagi masyarakat.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan dan jalinan hubungan kerjasama daripada pelbagai pihak iaitu komuniti nelayan sendiri dan pihak awam di samping, jalinan kerjasama bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan hubungan baik dengan negara luar telah juga menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifili turut menyatakan ketidakwajaran kapal milik negara luar terutama kapal tentera milik Amerika Syarikat (AS) berada di Selat Melaka bagi membantu menangani jenayah maritim.

“Ini kerana, kita sendiri mampu melaksanakan tugasan mengawal perairan negara daripada aktiviti jenayah tanpa campur tangan pihak luar. Kemampuan kita turut diakui negara lain.

“Lagipun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan bahawa beliau tidak mahu kapal asing berada di perairan kita,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM rampas syabu RM3.4 juta

PELABUHAN KLANG, 10 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 23 kilogram dianggarkan bernilai RM3.4 juta oleh dua nelayan tempatan, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, tangkapan hasil daripada maklumat risikan berkenaan dilakukan di perairan Tanjung Rhu, Sepang, dekat sini pada kira-kira jam 7.30 pagi.

“Dalam operasi semalam, APMM berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tidak mempunyai nombor pendaftaran dinaiki dua suspek berkenaan, keluar dalam keadaan mencurigakan dari Jeti Sungai Belankan, Tanjung Rhu.

“Menyedari diekori penguat kuasa APMM, suspek memecut laju bot mereka namun berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan, pemeriksaan ke atas bot berkenaan membawa kepada penemuan 22 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu disorokkan di dalam sebuah tong ikan berwarna jingga,” katanya dalam sidang media di sini. hari ini.

Mohd Zubil berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 31 tahun itu turut bertindak agresif ketika cuba ditahan, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dadah dirampas itu mahu diseludup keluar untuk dijual ke negara jiran dipercayai Indonesia yang mana harga pasarannya mampu mencecah hampir tiga kali ganda daripada harga di pasaran tempatan.

“Kami percaya dua suspek terbabit akan bawa dadah ini sehingga ke perairan antarabangsa dan kemudian mereka akan pindahkannya ke sebuah bot lain untuk dibawa ke lokasi ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zubil berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat rangkaian sindiket dadah berkenaan di sana.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan

“Tangkapan berkenaan adalah rampasan dadah terbesar APMM setakat ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM tahan kapal bawa diesel bernilai RM91,800 di Miri

MIRI, 19 Nov: Dua buah kapal ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana melakukan pemindahan 51,000 liter diesel bernilai RM91,800 tanpa kebenaran di perairan Miri tengah, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Md Fauzi Othman berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan di 7.4 batu nautika dari Tanjung Kuala Baram pada pukul 12.35 tengah , semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran atau lesen pemindahan minyak diesel dari kapal ke kapal.

“Seramai 12 kru kapal, Iapan warganegara serta empat warga Indonesia berusia 29 hingga 42 tahun ditahan dan kesemua kru tersebut memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Menurutnya, kejayaan operasi tersebut adalah berdasarkan maklumat diterima daripada Unit Perisikan dan APMM akan meningkatkan lagi rondaan di perairan Miri bagi memastikan keselamatan serta tiada kegiatan menyalahi undang-undang negara dilakukan.

-Bernama