Categories
NASIONAL

Ainul bakal dibedah waktu terdekat – Bapa

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 8 JUN: Bayi perempuan yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, dijangka menjalani pembedahan dalam waktu terdekat.

Menerusi status Facebook bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, pelbagai pertanyaan diterima mengenai hari Ainul Mardhiah akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.

“Saya dan isteri berharap kita semua dapat bersabar dan bantu kami mendoakan Ainul.

“Ainul akan dibedah tidak lama lagi, cuma sekarang mereka di sini mahu Ainul besar dan kuat sikit.

“MRI sudah buat dan doktor pakar sudah berbincang dan selepas meneliti keadaan Ainul, mereka sebulat suara menjawab, ya Ainul akan dibedah,” katanya.

Safiuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia bersama-sama membantu memastikan Ainul Mardhiah selamat tiba serta dapat menjalani rawatan di London.

“Kami memohon doa dari kalian semua buat puteri sulung kami ini, mudah-mudahan berlakunya keajaiban Tuhan dan Ainul selamat semasa menjalani pembedahan tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina Che Bakri, doktor pakar pelatih surgikal warga Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, bersama sekumpulan pakar pelbagai bidang, bersedia membuat pembedahan terhadap bayi berusia sembilan bulan itu.

Categories
NASIONAL

Bapa Ainul Mardhiah harap anak kembali normal

 

SEPANG, 24 Mei: “Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang doakan Ainul Mardhiah supaya kembali normal seperti bayi lain.”

Itulah luahan hati bapa bayi perempuan itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 sebelum berlepas bersama anaknya ke United Kingdom malam ini untuk rawatan anaknya yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.
“Harapan saya doa dari rakyat Malaysia mudah-mudahan Ainul kembali ke sini dalam keadaan normal dan sihat,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Turut mengiringi adalah ibu bayi, Nurul Erwani Zaidi, 24, di mana kesemua mereka dijadualkan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH002) ke London pada jam 11.30 malam ini.

Ainul Mardhiah kelihatan tenang dan nyenyak tidur dalam kereta sorong bayi yang ditolak bapanya.

Terdahulu, lebih 50 anggota keluarga mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu di KLIA di sini.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina Che Bakri, doktor pakar pelatih surgikal warga Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, bersama sekumpulan pakar pelbagai bidang, bersedia membuat pembedahan terhadap bayi berusia sembilan bulan itu. -BERNAMA