Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

AirAsia lancar e-dagang ‘Ourfarm’, bantu tingkat pendapatan petani

SERDANG, 16 JUN: AirAsia Group kini mengembangkan perniagaannya ke dalam industri pertanian menerusi pelancaran platform e-dagang pertanian kepada perniagaan (B2B) Ourfarm.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, Ourfarm menghubungkan petani dan nelayan secara langsung kepada syarikat perniagaan, terutamanya dalam bekalan makanan seperti restoran dan trak makanan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Ketika kami melihat keuntungan yang diraih petani, mereka harus mendapat lebih banyak keuntungan. Kami melihat rantaian bekalannya pula dan kami fikir dapat mengurangkan kos rantai bekalan dan memberikan lebih banyak keuntungan kepada petani.

“Kami juga ingin menjadikan makanan lebih murah kepada orang ramai dengan mengurangkan kos rantaian bekalan, supaya perniagaan makanan dapat menawarkan makanan lebih murah kepada orang ramai,” katanya kepada pada sidang media selepas pelancaran Ourfarm oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di sini semalam.

Pada masa depan, Fernandes berkata Ourfarm juga akan menyediakan gudang atau kemudahan rantaian sejuk di mana bukan sahaja syarikat perniagaan tetapi juga pengguna dapat membeli produk segar seperti sayur-sayuran, ikan dan daging secara dalam talian.

“Langkah pertama adalah platform, langkah kedua adalah gudang. Ideanya adalah untuk dapat membungkus semula pada saiz lebih sesuai untuk pengguna dan pada bulan berikutnya kami akan menjual terus kepada pengguna. Jadi, sesiapa sahaja boleh membeli produk segar,” katanya.

Kiandee dalam ucapannya berkata platform baharu yang dilancarkan itu dapat membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan.

“Akses ke pasar pada kelazimannya menjadi cabaran besar bagi pengeluar makanan pertanian. Ramai yang masih bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan hasil mereka serta mendapatkan input pertanian seperti benih, baja dan makanan untuk ternakan haiwan,” katanya.

Platform itu disokong oleh sistem kargo, logistik, pembayaran, perniagaan dan pelanggan AirAsia untuk mengatasi cabaran kos operasi dan akses ke pasaran baharu untuk petani dan membeli produk segar dalam kuantiti yang banyak dengan harga yang lebih rendah, ia juga membolehkan perkhidmatan logistik untuk pembeli perniagaan, katanya.

Kiandee berkata kementerian akan menggalakkan lebih daripada 1,000 petani yang berdaftar di bawah agensinya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengikuti platform dan meneroka potensi dalam e-dagang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ourfarm S. Lalitha berkata platform itu kini mempunyai 45 petani dan penternak ayam yang menyediakan bekalan produk segar kepada syarikat perniagaan yang membuat pesanan minimum sebanyak 50 kilogram di sekitar Lembah Klang.

“Pada masa ini kami bekerjasama dengan semua petani yang mendapat bantuan kerajaan, pada masa depan kami akan menjalinkan kerjasama dengan petani persendirian,” katanya sambil menambah Ourfarm akan menyediakan pengangkutan dengan kerjasama TheLorry.com yang akan mengambil sayur daripada petani dan mengagihkannya terus kepada syarikat perniagaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjarakan sosial dalam pesawat tidak wajib, risiko jangkitan rendah

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan penjarakan sosial dalam penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Riad Asmat.

Beliau berkata menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti telah menunjukkan risiko jangkitan dalam pesawat adalah sangat rendah.

“Pesawat telah dilengkapi dengan ciri-ciri yang dapat mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat seperti penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang memastikan udara dalam pesawat sentiasa bersih.

“Tahap kebersihan ini setaraf dengan kualiti udara dalam bilik pembedahan di hospital,” katanya kepada Bernama.

AirAsia turut menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini, serta insentif seperti pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik hingga Disember 2021, katanya.

“Berpegang teguh kepada slogan kami, ‘Now Everyone Can Fly’, kami dengan besar hati menyokong usaha kerajaan dengan melancarkan Pas Tanpa Had untuk merangsangkan dan menghidupkan semula pelancongan domestik Malaysia,” katanya.

Pada 7 Jun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran yang dibenarkan kepada rakyat di bawah PKPP termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun.

Susulan itu, AirAsia melancarkan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia untuk merangsangkan dan merancakkan semula pelancongan domestik Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan.

Pas bernilai bersih RM399 tersebut tersedia untuk semua ahli AirAsia BIG yang berpangkalan di Malaysia untuk membeli di airasia.com/deals atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia (di bawah Tab Tawaran) mulai 11 Jun hingga 15 Jun 2020.

Pemegang pas boleh menebus perjalanan tanpa had bagi tempoh perjalanan domestik 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021.

Sekiranya terdapat perubahan rancangan perjalanan, fleksibiliti yang lebih baik turut disediakan untuk pelanggan yang melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020 dengan mengetepikan biaya pertukaran penerbangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia lancar laluan baharu hubung Kuala Lumpur ke Belitung

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: AirAsia melancarkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Belitung di Sumatra, Indonesia menerusi perkhidmatan terus empat kali seminggu mulai 2 Oktober 2019.

Sempena pelancaran baharu ini, AirAsia menawarkan tambang istimewa untuk ahlinya dari serendah RM79 (tambang untuk ahli AirAsia BIG sahaja) dari Kuala Lumpur, yang boleh ditempah menerusi airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia mulai hari ini hingga 25 Ogos 2019, bagi perjalanan antara 2 Oktober, 2019 dan 28 Mac, 2020, kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini.

“Ahli BIG akan menikmati yuran pemprosesan sifar apabila membuat pembayaran menggunakan BigPay,” katanya.

Ketua Komersial Serantau AirAsia, Amanda Woo berkata, laluan baharu itu merupakan bukti komitmen syarikat penerbangan itu untuk menyokong kerajaan Indonesia dalam usahanya untuk membangunkan 10 destinasi pelancongan utama baharunya.

“Banyak yang ditawarkan oleh Indonesia daripada hanya Bali dan Lombok. Belitung merupakan tempat yang indah dan menakjubkan dengan potensi pelancongan yang belum diteroka, dan kami berharap menerusi perkhidmatan terus baharu ini, lebih ramai orang akan dapat mengetahui permata tersembunyi ini,” katanya.

Selain laluan baharu ini, AirAsia juga mengendalikan penerbangan harian ke Belitung dari ibu negara Indonesia, Jakarta, mulai 1 Oktober 2019.

AirAsia kini menghubungkan Kuala Lumpur ke 14 destinasi di Indonesia – Jakarta, Surabaya, Medan, Bali, Lombok, Yogyakarta, Pekanbaru, Pontianak, Padang, Palembang, Semarang, Makassar, Bandung dan Banda Aceh.

– BERNAMA