Categories
SELANGOR

Kolaborasi MBI bantu anak autisme

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Kolaborasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bersama Akademi Headstart dalam menjayakan program intervensi awal (IEP) di pusat pendidikan itu mampu mempercepatkan pembelajaran golongan autisme.

Ketua Pegawai Kewangan MBI, Zannifa Azura Ahmad berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya melaksanakan program antaranya Smart Parenting, seminar kesedaran, pemeriksaan saringan awal dan terapi.

Katanya, kira-kira 7,000 peserta mendaftar dengan pihaknya sejak 2016 hingga Disember tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai lebih 2,000 sudah mendapatkan saringan awal.

“Oleh itu, kolaborasi ini dapat membantu peserta khususnya golongan sasar iaitu B40 yang mempunyai anak-anak autisme bawah tiga tahun untuk membuat saringan awal.

“Kemudian, mereka dapat menghadiri program seperti itu dengan lebih cepat tanpa perlu menunggu masa sehingga enam bulan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Akademi Headstart dan Komuniti Kantin oleh Austism Cafe Project (ACP), di SACC Mall, di sini, hari ini.

Zannifa Azura berkata, Akademi Headstart berkenaan adalah pusat pendidikan kedua yang menjalin kerjasama dengan pihaknya.

Katanya, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama memandangkan permintaan peserta meningkat.

Pada program itu juga turut diadakan Program Smart Parenting Siri 1 2019, yang terdiri daripada ibu bapa, pengasuh dan guru.

Katanya, ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pihak terbabit dan membantu kanak-kanak lewat perkembangan.

Terdahulu, EIP turut menganjurkan bengkel Smart Parenting selain melahirkan beberapa program ‘spin off’ program dengan ibu bapa, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.

Turut dianjurkan program 1 Taska 1 Duta untuk menggalakkan sekurang-kurangnya satu pendidik mampu mengendalikan kanak-kanak istimewa di taska.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Akademi Headstart sedia pusat pendidikan anak autisme

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Penubuhan Akademi Headstart diharapkan menjadi tanda aras kepada pihak swasta lain dalam menyediakan pusat pendidikan untuk golongan autisme.

Pemiliknya, Khairul Razman berkata, menerusi akademi itu, pihaknya menyediakan tempat, peralatan dan program intervensi awal untuk membantu anak-anak istimewa itu berjaya dan kembali ke pendidikan arus perdana.

Beliau berkata, pihaknya membawa guru dan terapis berkelayakan, berpengalaman dan berdedikasi untuk membantu anak-anak ini.

“Walaupun kami adalah sebuah syarikat persendirian dan berurusan secara komersial, kami sedar adalah amat penting bagi akademi ini menyumbang secara langsung kepada projek dan program seperti Autisme Cafe Project (ACP) dan program EIP anjuran Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

“Kepada Pengasas ACP, Adli Yahya, saya terharu dan berbangga melihat ACP dijayakan demi anak-anak autisme.

“Saya berharap sumbangan kami ini akan memberi manfaat kepada usaha pihak ACP dan menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk memberi sokongan kepada Komuniti Kantin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Akademi Headstart dan Komuniti Kantin oleh Austism Cafe Project (ACP), di SACC Mall, di sini, hari ini.

Akademi dan Komuniti Kantin itu dirasmikan oleh Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad dan turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan MBI, Zannifa Azura Ahmad.

Pada masa sama, Adli berkata, pihaknya berterima kasih kepada Akademi Headtstart atas sumbangan lokasi itu.

“Kami berharap akan mendapat sokongan dan kerjasama dari organisasi lain supya kami boleh menambah cawangan Komuniti Kantin.

“Anak-anak autisme banyak mendapat peluang dan bantuan untuk belajar berdikari dan seterusnya boleh menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang mempunyai seorang anak austime.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)