Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia korbankan cuti Tahun Baharu Cina untuk All England

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Lee Zii Jia hari ini mendedahkan beliau tidak menyambut Tahun Baharu Cina baru-baru ini untuk membuat persiapan All England, selepas kembali daripada kejohanan di Thailand dengan tangan kosong.

Zii Jia yang baharu dimahkotakan sebagai Juara All England berkata untuk mengekalkan tumpuan sepenuhnya kepada latihan, beliau memberitahu keluarganya di Kedah yang dia tidak mendapat kebenaran untuk pulang menyambut Tahun Baharu Cina pada Februari.

“Sebenarnya, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) membenarkan semua pemain untuk menyambut Tahun Baharu Cina tetapi saya membuat keputusan untuk tinggal dan menumpukan kepada latihan. Hanya saya yang tinggal di kem dan berlatih berseorangan sepanjang waktu itu,” katanya menerusi satu sidang media maya di sini semalam.

Kesungguhan Zii Jia membuahkan hasil selepas beliau merangkul juara perseorangan lelaki All England dengan kemenangan sensasi 30-29, 20-22, 21-9 ke atas juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark di Birmingham, Ahad lepas.

Zii Jia berkata beliau dan jurulatihnya Hendrawan sungguh kecewa selepas dia kecundang dalam tiga kejohanan berturut-turut di Thailand.

Zii Jia tewas kepada pilihan kedua Chou Tien Chen dari Taiwan dalam suku akhir Terbuka Thailand Yonex sebelum tumpas kepada pemain India Sameer Verman dalam pusingan pertama Terbuka Thailand Toyota.

Beliau kemudian tewas kesemua tiga perlawanan dalam Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Saya sungguh gembira selepas perlawanan (final All England) dan terus menghubungi Hendrawan untuk berkongsi saat manis itu dengannya. Saya lihat beliau mengalirkan air mata gembira dengan kemenangan saya ke atas Axelsen … beliau amat bangga dengan saya,” katanya.

Anak Kedah yang kini di ranking kelapan dunia berkata keyakinan beliau bertambah selepas melangkah ke separuh akhir Terbuka Switzerland, sebelum bertanding dalam All England.

“Saya tidak jangka menang All England, saya berharap saya akan mengekalkan keyakinan, terus berlatih dengan gigih dan melakukan persiapan untuk Terbuka Malaysia nanti,” katanya.

Zii Jia berkata beliau tidak mahu dibandingkan dengan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, kerana setiap orang mempunyai perjalanan kerjaya sendiri.

“Adalah mustahil untuk mengulangi kejayaan Chong Wei. Saya mempunyai kisah sendiri dan perjalanan yang perlu diteruskan. Saya mahu kekal fokus dan bertarung sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Zii Jia bertekad untuk memberikan aksi terbaik di Sukan Olimpik Tokyo Julai nanti dan tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi dengan meletakkan pingat emas sebagai sasaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Nasihat Chong Wei bantu Zii Jia juarai All England

KUALA LUMPUR, 22 MAC: “Kamu perlu menjadi diri sendiri kerana jurulatih tidak boleh membantu dengan banyak ketika kamu berlawan di atas gelanggang.”

Itulah nasihat daripada pemain badminton tersohor dunia Datuk Lee Chong Wei yang amat bermakna sekali hingga membantu pemain perseorangan badminton utama negara Lee Zii Jia, untuk berusaha sehingga memenangi Kejohanan All England 2021 malam tadi.

Zii Jia, pemain nombor 10 dunia, yang juga pemain pilihan keenam kejohanan, telah mengatasi kesemua halangan dengan menewaskan juara bertahan yang juga pemain pilihan kedua Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-19, pada perlawanan akhir malam tadi yang berlangsung selama 74 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Pemain kelahiran Alor Star berusia 22 tahun ini mengakui, Chong Wei yang telah memenangi kejohanan badminton tertua dunia itu empat kali, kerap berhubung dengannya untuk memberikan kata-kata semangat sebelum beliau memasuki gelanggang pada mana-mana kejohanan.

“Chong Wei juga berkata, jurulatih akan membantu kamu 20 peratus, manakala kita perlu ada lagi 80 peratus untuk berlawan,” katanya dalam satu video dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada media.

Mengenai perlawanan akhir Zii Jia berkata, beliau hanya mendapat satu peluang memenangi gelaran itu, dan ia adalah pada ketika Axelsen mula hilang fokus pada set penentuan.

Zii Jia mengakui yang dia mengasak ketika Axelsen keletihan, sehingga menjarakkan mata dari pemain Denmark itu, bagi membolehkan beliau menang.

“Tentunya ia satu perlawanan yang sukar, terutamanya pada set pertama, dan selepas tewas pada set kedua, saya katakan pada diri saya hanya untuk fokuskan pada setiap mata pada perlawanan ini, kerana jika saya hilang tumpuan, pihak lawan akan menggunakan kelebihan itu.

“Pada saya, kami berdua bermain dengan amat baik, sehingga set ketiga, di mana Axelsen mula hilang fokus dan pada ketika itu, saya ada kelebihan untuk menewaskan beliau,” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu menegaskan, sukar mengambarkan perasaannya sebaik memenangi gelaran berprestij itu dan apa yang lebih menarik, beliau berjaya menewaskan Axelsen yang mengalahkan beliau pada peringkat separuh akhir, tahun lepas.

“Saya rasa gembira, sedih dan teruja…kesemuanya ada pada saat itu,” katanya.

Sementara itu Axelsen mengakui yang beliau keletihan selepas menghadapi permainan yang panjang pada perlawanan-perlawanan, sebelum perlawanan akhir dan telah menyebabkan beliau tewas perlawanan itu.

“Saya rasa yang saya telah kehabisan tenaga selepas bermain perlawanan-perlawanan yang panjang sebelum ke perlawanan akhir… Zii Jia adalah pemenang sebenar dan saya mahu mengucapkan tahniah kepada beliau,” kata pemain nombor dua dunia itu.

Ini merupakan kemenangan kedua Zii Jia dalam lima pertemuan bersama Axelsen, yang bertanding buat kali ketiga berturut-turut pada perlawanan akhir kejohanan itu.

Kemenangan Zii Jia itu meletakkan nama Malaysia pada senarai pemenang All England, selepas kali terakhir dimenangi Chong Wei pada edisi 2017.

Kejayaan itu juga menamatkan kemarau tiga tahun Zii Jia tanpa gelaran, selepas memenangi Terbuka Taiwan pada 2018 apabila beliau mengalahkan Riichi Takeshita dari Jepun 21-17, 16-21, 21-11, sebelum tidak menyertai apa-apa kejohanan selama setahun akibat Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Lee Zii Jia juara All England, akhiri kemarau kejohanan

SHAH ALAM, 21 MAC: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia menjuarai kejohanan badminton All England selepas menewaskan pemain Denmark.

Kejohanan yang berlangsung di Birmingham, England menyaksikan Zii Jia menewaskan Victor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam perlawanan penuh mendebarkan.

Keputusan tersebut menebus kehampaan pemain ke-10 dunia itu yang tewas di tangan Axelsen pada saingan edisi tahun lalu.

Kemenangan itu juga menamatkan kemarau negara selepas kali terakhir memenanginya menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan tahniah kepada Zii Jia yang mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Tahniah Lee Zii Jia menjuarai kejohanan All England 2021. Zii Jia mengikut jejak langkah Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai pertandingan tersohor ini. Negaraku berkumandang megah di Birmingham,” tulisnya di Twitter.