Categories
AGENDA NASIONAL

Aweta: Kumpulan ekspedisi dijangka pulang ke tanah air 9 Januari

SHAH ALAM, 4 JAN: Ekspedisi Eksklusif Wanita ke Antartika ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) dijangka tiba di tanah air 9 Januari ini, selepas menamatkan ekspedisi ke Kutub Selatan itu Selasa lepas.

Ketua ekspedisi itu, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, kumpulan itu kini berada Puntas Arenas, Chile selepas berjaya menamatkan misi itu kira-kira jam 3.53 pagi waktu Malaysia.

“Alhamdulillah selepas tujuh hari pengembaraan dan bersusah payah merentas last degree, pasukan Aweta telah selamat sampai ke paksi bumi South Pole pada 31 Disember lepas.

“Dengan kejayaan itu, tiga peserta wanita ekspedisi ini secara rasmi digelar ‘Ratu Ais’ kerana kejayaan mereka berjalan dalam keadaan cuaca sejuk yang ekstrim untuk sampai di lokasi terakhir iaitu di Amundsen–Scott South Pole Station (Amerika Syarikat) ini,” katanya.

Sebelum ini, peserta ekspedisi itu mula memasuki kawasan Antartika pada 25 Disember lepas dengan merentasi 2.0 kilometer (perjalanan di Antartika) dengan suhu -29 darjah Celsius.

Tiga peserta wanita yang terlibat dalam ekspedisi itu anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31 tahun.

“Sepanjang perjalanan peserta berhadapan masalah kesihatan termasuk keletihan dan Saleha turut mengalami mabuk altitud.

“… dan kami juga menghadapi masalah ketipan ibun (frost bite) di bahagian muka disebabkan suhu yang sangat sejuk ini dan setakat ini keadaan masing-masing semakin pulih,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu kini sedang berehat di Puntas Arenas dan dijadualkan ke Santiago esok, untuk melawat kedutaan Malaysia di sana sebelum pulang ke Malaysia.

Kumpulan ekspedisi itu sebelum ini bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan tersebut bagaimanapun, ia tidak dapat diteruskan susulan kesukaran mencari kapsul berkenaan.

Sharifah Mazlina berkata bagaimanapun program itu diteruskan bagi memenuhi matlamat untuk melahirkan ikon golongan wanita muda yang sanggup menghadapi cabaran sekali gus dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.

“Masih ramai yang bertanya mengenai kapsul itu jadi saya jelaskan di sini pencariannya tidak dapat diteruskan kerana kawasan penanaman kapsul telah memasuki kawasan pangkalan Amerika Syarikat selain ia telah bertimbun dengan ais terlalu dalam iaitu mungkin (ais) paras bangunan setinggi 14 tingkat kerana ia ditanam 14 tahun lalu.

“Sebab lain juga kerana bacaan GPS (Global Positioning System) untuk mengesan kapsul itu tidak lagi tepat, kerana ada pergerakan ais di lokasi yang ditanam…sebab itu tujuan lain ekspedisi ini juga untuk mengetengahkan ‘Ratu Ais’ yang memberi cabaran kepada tiga peserta wanita ini berjalan dalam keadaan suhu sejuk dan berais,” katanya.

Tiga peserta wanita itu sebelum ini berjaya dipilih sebagai ‘Ratu Ais’ yang membawa cabaran sebagai inspirasi baharu generasi muda ke Kutub Selatan bermula 18 Disember lepas hingga semalam.

Ketiga-tiga peserta itu dipilih selepas mereka berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan sekali gus mengetepikan 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.

Sharifah Mazlina juga berkata pihaknya akan mengadakan sidang media berhubung pencapaian kumpulan ekspedisi itu apabila tiba di tanah air nanti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AWETA: Perjalanan ke Antartika tertangguh kerana cuaca

SHAH ALAM, 20 DIS: Ekspedisi Eksklusif Wanita ke Antartika, ‘All Women Expedition to Antartica’ (AWETA) yang sepatutnya bermula Rabu lepas, terpaksa ditangguh seketika berikutan keadaan hujan yang tidak menentu di Puntas Arenas, Chile yang tidak membenarkan kumpulan itu masuk ke Antartika.

Mentor Aweta, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir menerusi entri terbaharu di laman Facebooknya (FB) hari ini berkata, bagaimanapun kumpulan itu akan masuk ke Antartika pada bila-bila masa apabila keadaan cuaca mengizinkan.

“Kita menjangkakan akan terbang ke Antartika pada bila-bila masa apabila diumumkan boleh berbuat demikian, aktiviti hari ini sementara menunggu penerbangan masuk ke Antartika kita mendaki Mount Vinson untuk tiga jam bagi mengekalkan stamina.

“Tiga wanita yang menyertai ekspedisi ini juga turut mendalami teknik pemakaian (baju) yang bersesuaian dengan perubahan cuaca yang sekejap sejuk dan sekejap panas,’’ katanya.

Kumpulan itu akan menaiki ‘Aircraft Russian Illusion’ dari Puntas Arenas ke Antartika yang memakan masa kira-kira lima jam perjalanan.

Sharifah Mazlina berkata, kumpulan tersebut turut menggunakan masa terluang dengan memahirkan diri masing-masing dalam penggunaan sistem penentu kedudukan sejagat (GPS) sebagai langkah memudahkan ekspedisi mereka menakluki kutub selatan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan ekspedisi tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kumpulan ekspedisi itu bertangungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004.

Pencarian kapsul yang ditanam sejak 14 tahun lalu di Kutub Selatan itu perlu dilakukan segera berikutan lokasi penanamannya berada berhampiran sebuah pusat penyelidikan Amerika Syarikat, selain dibimbangi memasuki kawasan berkenaan.

Misi yang dijadual bermula Rabu lepas hingga 3 Januari tahun hadapan itu melibatkan anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31 tahun.

– BERNAMA