Categories
AGENDA NASIONAL

PNB tumpu strategi jangka panjang, pelbagai portfolio pelaburan

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus memberi tumpuan terhadap strategi pelaburan jangka panjang dan tidak akan membiarkan ketidaktentuan jangka pendek menjejaskan usaha terbabit, kata Pengerusi kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Aziz.

Beliau berkata strategi itu akan berdasarkan penilaian asas-asas dan pada masa sama akan kekal berhati-hati dalam mengemudi cabaran bagi tempoh jangka pendek hingga pertengahan demi menjana pendapatan mampan untuk para pemegang unit-unit amanahnya.

“Ini penting kerana kita perlu menumpukan (strategi) jangka panjang bagi mendapatkan pulangan mampan pada masa-masa akan datang. Kita tidak mahu mencatat kejayaan dalam satu tahun dan sebaliknya merekodkan prestasi buruk pada tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya selepas mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 4.25 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 di sini hari ini.

Jumlah itu adalah yang terendah sejak ASB dilancarkan pada 1990 yang menyaksikan pengurus dana terbesar negara itu mengumumkan pulangan sebanyak 14.0 sen bagi tahun tersebut.

Pada tahun lepas, ASB mengumumkan dividen sebanyak 5.5 sen seunit.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PNB akan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi pada masa depan, Zeti berkata sepertimana institusi pengurusan aset dan firma pelaburan lainnya, prestasi ASB dan dana-dana unit amanah lain di bawah kendaliannya akan turut terjejas dengan perkembangan ekonomi domestik dan global selain impak dialami pasaran kewangan dan aset lain.

“Oleh itu, seiring dengan peningkatan unjuran terhadap ekonomi global dan domestik susulan perkembangan penghantaran vaksin COVID-19, kebanyakan ekonomi dijangka membenarkan pembukaan semula ekonomi dan perdagangan global secara beransur-ansur.

“Perkembangan positif ini turut dipaparkan dalam peningkatan prestasi dan indeks ekuiti tempatan serta pasaran aset lain,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, Zeti mengingatkan bahawa isu-isu dan risiko membabitkan perkembangan positif akan menyaksikan peralihan struktur dalam ekonomi global bagi tempoh pasca pandemik Covid-19.

“Masih terdapat isu-isu geopolitik yang belum selesai yang akan menyebabkan ketidaktentuan, khususnya dalam pasaran kewangan.

“Berikutan itu, seiring dengan jangkaan bahawa bank-bank pusat di serata dunia mengekalkan kadar faedah pada paras rendah, ini akan menyebabkan persekitaran dengan hasil pulangan yang rendah…inilah persekitaran yang kita hadapi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata 2020 merupakan tahun penuh mencabar dengan pandemik Covid-19 meragut nyawa, memberi impak serius terhadap aktiviti ekonomi dan menyebabkan ketidaktentuan ketara terhadap pasaran kewangan di serata dunia.

“Walaupun dalam persekitaran mencabar ini, PNB telah dapat memberikan agihan pendapatan yang kompetitif bagi pemegang unit-unitnya,” katanya.

Zeti juga menegaskan bahawa PNB kekal optimis terhadap masa depan dan institusi pengurusan dana itu akan terus melaksanakan usaha pempelbagaian selanjutnya bagi mengelak tumpuan berlebihan terhadap risiko selain meninjau pelaburan dalam industri baharu yang pesat berkembang serta memperkukuh kemampuan pengurusan risikonya bagi kemajuan masa depan.

“Kita akan terus berusaha sedaya upaya untuk mengemudi masa-masa sukar ini bagi memastikan dapat memberi pulangan mampan untuk para pemegang unit.

“Selain itu, kita akan meneruskan usaha bagi mempelbagaikan portfolio pelaburan agar dapat mewujudkan portfolio yang mampu mengharungi semua keadaan dengan campuran optimum kelas-kelas aset dan geografi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelabur dinasihat semak semula kadar pembiayaan ASB

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) menasihatkan Pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mengambil Pembiayaan ASB untuk menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah, selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu kenyataan, ASNB menjelaskan bahawa peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas dan Kadar Pembiayaan Asas yang menentukan kadar Pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank.

“ASNB telah mewujudkan pusat khidmat nasihat pembiayaan ASB yang boleh dihubungi mulai hari ini melalui Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 bagi membantu pelabur yang mengambil Pembiayaan ASB menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan mereka,” katanya.

Secara keseluruhan, OPR yang telah diturunkan oleh BNM pada 2020 adalah sebanyak 1.25 peratus dengan pengurangan OPR sebanyak 4 kali pada tahun ini, iaitu pada Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu.

“OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 1.75 peratus. OPR telah diturunkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan kesan negatif Covid-19 kepada persekitaran ekonomi global,” ASNB menambah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azmin pertahan PNB walau dividen ASB rendah

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang dikritik selepas mengumumkan pembayaran dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang terendah sejak ia dilancarkan pada 1990.

Mohamed Azmin berkata, PNB telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pendeposit dan pemegang saham mendapat pulangan mereka walaupun iklim ekonomi yang lemah.

“Selain daripada pasaran global dan juga isu tadbir urus sebelum ini, pasukan pengurusan PNB yang baharu telah mencuba yang terbaik untuk memastikan tadbir urus dan kebertanggungjawaban menjadi tonggak dalam pasukan baharu,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan memastikan PNB diurus dengan baik, dengan integriti dan kebertanggungjawaban.

“Kami mahu memastikan PNB diurus dengan telus dan kebertanggungjawaban, dan PNB akan menjelaskannya. Ia melibatkan lebih RM9 bilion dan ia bukan jumlah wang yang kecil,” katanya.

Pada Rabu, PNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit kepada pemegang unit ASB, terdiri daripada pengagihan sebanyak lima sen dan bonus 0.5 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pengagihan pendapatan bagi tahun ini lebih rendah daripada jumlah pengagihan pada tahun lepas sebanyak tujuh sen seunit.

Jumlah pembayaran bagi pengagihan pendapatan sebanyak RM9 bilion, memberi manfaat kepada 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit, menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dana itu dan bonus kepada RM152 bilion sejak penubuhannya pada 1990.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata lebih banyak perbincangan diperlukan untuk mencari rakan strategik bagi Malaysia Airlines Bhd berikutan kerajaan telah menerima beberapa cadangan daripada penggiat serantau dan antarabangsa.

“Kami baru sahaja mengadakan mesyuarat lembaga pengarah kami pada 17 Disember dan perkara ini dibincangkan, tetapi cadangan yang dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah itu tidak cukup menarik untuk kami membuat keputusan.

“Oleh itu, Perdana Menteri, Pengerusi dan Lembaga Pengarah bersetuju bahawa kami perlu melihat pilihan lain sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

– BERNAMA