KUALA LUMPUR, 27 MAC: Gelombang Anak Muda Tolak Umno-BN (TOLAK) akan mengadakan jelajah ke kawasan parlimen yang dikuasai Umno-BN bagi membangkitkan kesedaran anak muda akan kepentingan menolak gagasan itu dalam pilihan raya nanti.
TOLAK yang disokong 26 NGO akan mengadakan Himpunan Mahasiswa dan Anak Muda, Ceramah Perdana dan mengumpulkan tandatangan sepanjang 1 Kilometer bagi membuktikan rakyat Malaysia menolak Umno-BN sebagai pentadbir kerajaan.
Antara NGO yang memberikan sokongan termasuklah Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Menurut Pengerusi TOLAK, Azan Safar, TOLAK akan mendedahkan kelemahan, kegagalan dan ketidakadilan yang dilakukan Umno-BN dan sekaligus memberikan tekanan kepada mereka di fasa terakhir sebelum PRU-13.
“Jelajah ini akan bermula pada 5 April di Perak ini dan hanya menggunakan pengangkutan awam dan berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain sebagai simbolik dan menzahirkan protes terhadap Umno-BN.
“Kain rentang berserta tandatangan rakyat Malaysia ini akan dibentangkan dalam acara kemuncak di Kuala Lumpur pada 13 April 2013 akan datang,” kata Azan dalam sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pagi tadi.
Acara lain yang turut diadakan termasuklah acara Pesta Anak Muda seperti ‘busking’ dan pertunjukkan wayang kulit.
Dalam sidang media sama, Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A. Samad Said turut menyatakan sokongannya terhadap program jelajah tersebut dengan membacakan sebuah sajak bertajuk ‘Pemburu Bangsa”.
Selain A.Samad turut hadir dalam sidang media tersebut, Penolong Setiausaha ANAK, Fadhil Osman.
Tarikh jelajah itu adalah :
Perak – 5 April 2013 (Jumaat)
Pulau Pinang – 6 April (Sabtu)
Sarawak – 7 April 2013 (Ahad)
Terengganu – 8 April 2013 (Isnin)
Kelantan – 9 April 2013 (Selasa)
Pahang – 10 April 2013 (Rabu)
Johor – 11 April 2013 (Khamis)
Melaka – 12 April 2013 (Jumaat)
Kuala Lumpur (kemuncak) – 13 April 2013 (Sabtu)